Rezeki pensyarah seni bina IUKL
Rekaan bertajuk Anjung Inspirasi, Seni Berkarya berjaya pikat hati juri profesional
KUALA LUMPUR - 'Anjung Inspirasi, Seni Berkarya' hasil rekaan pensyarah Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL), Azrin Abu Seman berjaya memenangi tempat kedua kategori Pertandingan Rekaan Balkoni Tercantik sempena KL Park Festival 2023. Kemenangan itu melayakkan beliau menerima wang tunai RM4,000 bersama trofi.
“Selepas melepasi saringan pertama, daripada hampir 50 penyertaaan, Alhamdulillah rekaan saya terpilih bersama 19 lagi penyertaan lain yang diberikan wang tunai RM2,000 bagi menterjemahkan rekaan tersebut secara fizikal di tapak festival yang berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa. Kesemua 20 tapak pameran balkoni tersebut sekali lagi dinilai oleh para juri profesional.
“Anjung Inspirasi, Seni Berkarya mengetengahkan konsep hijau dan memaksimumkan fungsi balkoni yang sering dikaitkan dengan kepanasan.
"Kita sudah terdidik dengan keselesaan maksudnya tidak panas, selalunya ruang balkoni terbiar berdebu atau menjadi tempat menyidai baju atau yang paling teruk menjadi tempat merokok. Pendek kata, balkoni adalah merupakan anjung kecil pada rumah bertingkat adalah ruangan yang paling jarang dimaksimumkan penggunaannya,” jelas beliau lagi yang juga merupakan seorang pelukis abstrak.
Seni Pop juga ialah satu bentuk ekspresi manusia yang bertujuan untuk menghibur dan menggembirakan manusia serta dapat menunjukkan keindahan dan menimbulkan sentimen yang kuat dalam pelbagai elemen kehidupan.
Ujarnya lagi, masyarakat Malaysia semakin sedar tentang kepentingan tumbuhan hijau dalam rumah. Kesedaran ini disebabkan tumbuhan hijau bukan sahaja mencantikkan ruang dan dapat memperbaiki pengudaraan, tetapi ia juga boleh meningkatkan tahap tumpuan kita.
“Oleh itu, saya mengabungkan elemen Seni Pop dan tumbuh-tumbuhan yang bersesuaian dengan konsep serta keperluan Pertandingan Rekaan Balkoni Tercantik ini.
“Secara keseluruhannya, penampilan rekabentuk balkoni ini memberi ilham kepada pemilik ketika berkarya dengan unsur atau elemen pop art melalui warna yang elegan, vibran dan membangkitkan lagi mood atau suasana karya seni terhadap pemilik,” terang Azrin lagi.
Selain memberi idea segar kepada para pengunjung KL Park Festival 2023, pertandingan balkoni tercantik ini juga dapat menjadi rujukan kepada para pelajar dalam bidang seni bina dan rekaan industri mendapatkan idea-idea baru bagi keperluan pembelajaran mereka.
Untuk rekod KL Park Festival 2023 berlangsung dari 4 hingga 12 Mac lalu yang bertemakan Laman Seni dan Flora Malaysia merupakan inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengalakkan orang ramai menghargai keindahan alam sekitar berteraskan kehidupan moden dalam konteks urbanisasi secara alami.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!