Bukan bumiputera dalam ATM kurang tiga peratus

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan - Foto Bernama
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Faktor kerja yang susah dan gaji yang rendah dikenal pasti punca, komuniti bukan bumiputera kurang minat menyertai perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, setakat ini tidak sampai tiga peratus daripada bukan bumiputera menyertainya kerana kurang minat dengan skop kerja badan keselamatan itu.

"Ini merupakan satu masalah yang perlu ditangani, tetapi seperti disebutkan tadi kerja susah, gaji kurang lumayan, bertugas tidak tentu masa dan kadang-kadang tidak dapat bersama keluarga ketika perayaan merupakan antara punca mengapa mereka kurang berminat.

"Ini adalah kekangan yang dihadapi ATM dan Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk menggamit penyertaan anak-anak Malaysia yang bukan daripada bumiputera,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang ingin tahu usaha khusus dan berfokus Mindef dalam menarik minat lebih ramai anak muda dari kaum bukan Melayu menyertai ATM.

Sementara itu, Mohamad berkata, tiada kuota ditetapkan bagi pengambilan anggota ATM dan ia mengikut kepada penyelarasan dengan jumlah anggota yang tamat perkhidmatan seperti bersara awal atau wajib.

Namun katanya, ketika ini 3,000 perjawatan ATM tidak dapat dipenuhi susulan pandemik Covid-19 serta kekangan tempat latihan sedia ada.

"ATM sememangnya sentiasa mengiklankan pengambilan (anggota ATM) setiap tahun dan sebelum Covid-19 lebih kurang 6,500 ke 7,000 lebih orang diambil untuk mengisi kekosongan orang yang bersara.

"Tentera ini dia ada skim masa pendek kerja 15 tahun, umur 40 tahun sudah berhenti, jadi ini masalahnya, malah banyak orang tidak mahu masuk tentera terutamanya banyak bukan bumiputera tidak mahu sebab kerjanya pun 24 jam satu hari," katanya.

Mohamad menjawab soalan asal dikemukakan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) mengenai cadangan kementerian itu untuk menambah bilangan anggota ATM untuk menampung keperluan pekerjaan anak-anak muda. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!