Bahana pinjamkan MyKad, tiga individu dipenjara, denda
TAWAU - Akibat meminjamkan kad pengenalan kepada orang lain dan gagal menunjukkan dokumen penting itu kepada pihak berkuasa, tiga individu dijatuhi hukuman penjara dan denda di Mahkamah Majistret berasingan di sini pada Selasa.
Abdul Habil Mobin, 58, dan Fatimah Hasan, 50, mengaku bersalah di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan dan masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM2,500 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda.
Manakala Durinah Suaib, 36, dikenakan hukuman penjara 12 minggu selepas mengaku salah sebaik pertuduhan habis dibacakan dihadapan Majistret Dzul Elmy Mohd Yunus.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 4 petang, 24 Mac di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara UTC Tawau kerana gagal mematuhi Peraturan 6 iaitu gagal pada setiap masa membawa kad pengenalan diri.
Pertuduhan adalah di bawah Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan boleh dihukum di bawah peraturan-peraturan yang sama iaitu penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, Abdul Habil, Fatimah serta Durinah ditahan selepas kediaman mereka di Kampung Air, di Semporna diserbu sepasukan pegawai dari Jabatan Pendaftaran Negara yang menjalankan Ops Lancar antara gagal 10 hingga 10.30 pagi, Jumaat lepas.
Mereka kemudian gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan setelah itu, hasil siasatan mendapati tertuduh merupakan warganegara Malaysia serta mengaku meminjamkan kad pengenalan kepada orang lain.
Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Mohamad Faizal Tahir, dan Durinah diwakili peguam Jhesseny P Kang manakala Abdul Habil serta Fatimah tidak diwakili peguam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!