Roboh pagar untuk buang sampah haram
SERDANG - Sebuah kawasan lapang dan berpagar telah dijadikan lokasi pembuangan sampah haram di Jalan Putra Permai, Seri Kembangan di sini sejak tiga bulan lalu.
Pekebun, Hee Yoon Fah, 72 berkata, selain pagar dirobohkan, sampah turut dibuang di atas jalan menyebabkan laluan masuk ke kebun buah-buahan yang diusahakan sejak 15 tahun lalu terhalang dan tidak boleh dilalui.
Menurutnya, situasi tersebut menyebabkannya terpaksa mengeluarkan modal sendiri mengupah kontraktor untuk kerja pembersihan bagi membolehkannya keluar masuk ke kebun.
"Mula-mula mereka buang sampah di kawasan dalam sedikit, kemudian mula mengubah lokasi berhampiran jalan utama dua bulan lalu.
"Sudah lapan kali saya upah orang untuk bersihkan sampah di jalan masuk. Setiap kali upah kena bayar RM100. Kalau tak bersihkan, saya tak boleh lalu ke kebun," katanya pada Selasa.
Beliau ditemui ketika turun padang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah ke lokasi pembuangan sampah haram tersebut.
Yoon Fah memberitahu, tidak pernah terserempak dengan pelaku dan aktiviti tersebut dipercayai dilakukan pada lewat petang atau malam.
"Saya tidak pasti bila mereka buang sampah, biasanya saya akan ke kebun antara jam 8 ke 10 pagi dan pulang pada petang namun tidak pernah sekali pun terserempak dengan mereka," katanya.
Sementara itu, Hian Wah berkata, banyak isu sampah haram berlaku di kawasan Seri Kembangan susulan banyak kawasan perumahan baharu dibangunkan khususnya dalam kawasan bandar.
"Banyak kerja ubah suai dan industri menyebabkan kontraktor tong RORO mahu jimat kos, mereka tidak pergi jauh di tempat pembuangan sampah diluluskan oleh kerajaan sebaliknya membuang sampah di lokasi tidak dibenarkan.
"Justeru saya cadangkan undang-undang sedia ada di ubah suai kerana tidak cukup ketat untuk kawal kontraktor tong RORO ini," katanya.
Beliau turut mencadangkan fasiliti seperti stesen transit (transfer station) disediakan untuk memudahkan kontraktor RORO membuang sampah.
"Sampah yang ditempatkan ke stesen tersebut akan dipindahkan dalam kuantiti besar ke tapak pelupusan sampah utama.
"Sekarang alasan kontraktor RORO ini kerana mahu menjimatkan kos, tak mahu pergi ke tempat jauh jadi mereka ambil risiko buang sampah di merata tempat," katanya.
Beliau berkata, setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya dalam kawasan bandar perlu memiliki kemudahan stesen transit berkenaan bagi mengatasi isu sampah haram tersebut.
Jelasnya, beberapa kawasan hotspot sampah haram dikesan di Seri Kembangan antaranya Bukit Serdang, Seri Serdang dan Putra Permai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!