Peniaga lega bazar Ramadan kembali meriah

Abdul Razif (kiri) ketika menyiapkan roti john di bazar Ramadan Mini depan pintu gerbang Kampung Lonek,Jempol.
Abdul Razif (kiri) ketika menyiapkan roti john di bazar Ramadan Mini depan pintu gerbang Kampung Lonek,Jempol.
A
A
A

SEREMBAN - Kemeriahan bazar Ramadan di kebanyakan lokasi tahun ini memberi nafas baharu buat golongan peniaga tidak kira peniaga lama ataupun yang baharu terutamanya selepas pandemik Covid-19.

Peniaga burger, Dayang Noratilia Mohd Hasram, 30, berkata, dia teruja apabila berpeluang berniaga di bazar Ramadan Pekan Tanjung Ipoh,Kuala Pilah pada tahun ini.

Dayang Noratilia dihadapan gerai jualannya di Bazar Ramadan Tanjung Ipoh,Kuala Pilah.
Dayang Noratilia dihadapan gerai jualannya di Bazar Ramadan Tanjung Ipoh,Kuala Pilah.

Menurutnya, suasana (meriah) berkenaan sudah dirasainya sebelum hari pertama bazar bermula.

"Alhamdulillah sambutan begitu menggalakkan walaupun perasaan bercampur baur disebabkan kenaikan harga barang mentah, namun jualan habis menjelang petang sebelum waktu berbuka," katanya kepada Sinar Harian.

Bagi peniaga roti john, Abdul Razif Sulaiman, 35, pula berkata, hampir setiap tahun dia berniaga di bazar Ramadan mini di hadapan pintu gerbang Kampung Lonek, Jempol di sini.

"Kami seperti bernafas semula tahun ini, tiada sekatan kerana Covid-19. Pengunjung pun ramai bukan sahaja masyarakat Islam tetapi turut menjadi tumpuan orang bukan Islam.

"Nampak negara kita ini masih mengekalkan perpaduan, mereka mencuba pelbagai juadah yang dijual di bazar malah roti john saya juga laku," katanya yang berniaga sejak 2019.

Bagaimanapun, berbeza pula pengalaman hari pertama buat pengusaha Banat Sandwich yang membuka khemah di hadapan premisnya di Nilai.

Perniagaan yang diusahakan Fatin Wahidah Safiai dan Fatin Nurjihan Burhanuddin masing-masing berusia 30 tahun itu memaklumkan hari pertama Ramadan, khemah mereka diterbangkan angin dalam kejadian ribut.

Kakitangan Banat Sandwich yang kuyup ketika mengalihkan khemah yang terbang. (Foto: Banat Sandwich)
Kakitangan Banat Sandwich yang kuyup ketika mengalihkan khemah yang terbang. (Foto: Banat Sandwich)

"Bulan puasa kali ini, tahun pertama Banat beroperasi di kafe. Pagi-pagi lagi kami sudah pasang khemah di depan premis dengan harapan ia akan memudahkan pelanggan membeli juadah berbuka nanti.

"Qaddarallah, petang itu hujan berserta ribut. Kami pula tiada pengalaman uruskan khemah, tengah sibuk buat roti john dalam kafe, tiba-tiba khemah kami terbang sehingga mengenai tiga kenderaan.

"Bagaimanapun kami segera alihkan khemah dalam keadaan hujan lebat kerana risau kena kereta lain lagi. Alhamdulillah kejadian ini tidak menyebabkan kecederaan selain jualan kami tetap mendapat sambutan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!