Pemuda Pas Selangor terima kunjungan pegawai Kedutaan Jepun
SHAH ALAM - Tsunami Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan Pas berjaya menang 49 kerusi Parlimen telah menarik minat Pegawai Diplomatik Kedutaan Jepun untuk bertukar pandangan.
Pada Selasa, Pemuda Pas Selangor telah menerima kunjungan hormat daripada Pegawai Diplomatik Kedutaan Jepun, Masubuchi Kana di Pejabat An-Munir Centre, Bandar Rimbayu pagi Rabu dan disambut Ketuanya, Mohamed Sukri Omar.
Pada pertemuan tersebut, beberapa topik dibincangkan termasuk persoalan Masubuchi Kana berkenaan keputusan PRU15 lalu yang menyaksikan peningkatan sokongan pengundi kepada PN dan Pas
Mohamed Sukri menjelaskan, keputusan yang diperoleh tersebut merupakan kehendak anak muda yang mahukan sebuah kerajaan yang bersih dan stabil seperti yang dilaungkan PN Best bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil'.
“Keputusan ini adalah tsunami orang muda yang terkesan dengan salah guna kuasa yang diamalkan kepimpinan oleh UMNO dan BN di samping beberapa perubahan yang perlu diambil atau dibuat tindakan parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya.
"Antara faktor kemenangan ialah pendekatan secara lebih santai melalui media sosial yang dibawakan Pas terhadap golongan muda membolehkan parti itu lebih popular dan sinonim dalam kalangan pengundi baharu," katanya.
Beliau berkata, agenda besar yang dibawa Pas adalah kefahaman terhadap perpaduan ummah dan berusaha menyatukan orang Islam dalam Perikatan Nasional (PN), BN serta kaum lain yang tidak ekstrem.
Ujarnya, kemenangan Pas satu motivasi buat parti itu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!