Polis kesan ramai buat laporan palsu dakwa disamun

Polis
Polis
A
A
A

KLANG - Seramai 10 individu telah dituduh di Mahkamah Majistret Klang berkaitan laporan palsu sejak awal 2022 sehingga 25 Mac tahun ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan polis sebelum ini mendapati orang awam yang tercicir kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri cenderung untuk membuat laporan polis kononnya mereka telah diragut atau disamun.

"Seramai tiga individu telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang tahun lepas manakala tujuh individu pada Mac ini dengan melibatkan 10 pertuduhan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Justeru, beliau menasihatkan orang awam agar tidak membuat laporan palsu dengan harapan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak mengenakan denda untuk memperbaharui kad pengenalan.

"Kebanyakan individu membuat laporan palsu berkenaan bagi mengelak membayar denda kehilangan kad pengenalan (MyKad).

“Semakan dilakukan dengan pihak JPN mendapati individu yang kehilangan kad pengenalan perlu membayar denda RM110 (kali pertama), RM310 (kali kedua) dan RM1,100 (kali ketiga),” katanya.

Ujar Hoong Fong, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!