Proton umum X90 kenderaan tenaga baharu pertamanya
PENGELUAR kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton) pada Selasa mengumumkan X90 sebagai nama rasmi bagi kenderaan tenaga baharu pertamanya (NEV).
Model X90 itu adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) ketiga Proton selepas X70 dan X50 dan dibangunkan bagi memenuhi segmen premium, moden serta keluarga.
Ketua Pegawai Esekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, kejayaan memperkenalkan X90 juga amat bermakna kerana dibuat ketika sambutan ulang tahun ke-40 Proton selain menjadi permulaan bagi kehadiran lebih banyak model NEV di masa-masa akan datang.
"Ini juga seiring dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kenderaan generasi akan datang.
"Selain itu, ia juga membuktikan bahawa biarpun selepas empat dekad, Proton masih memainkan peranan utama dalam membangunkan industri automotif tempatan,” katanya pada majlis previu X90 untuk media di sini, pada Selasa.
SUV X90 yang didatangkan dalam empat varian standard, eksekutif, premium dan perdana juga ditawarkan dalam enam warna iaitu putih, perak, kelabu, coklat, merah delima dan biru laut.
Model kenderaan elektrik hibrid ringan itu bukan setakat menawarkan ruang dan kebolehgunaan dengan konfigurasi tujuh tempat duduk, tetapi juga tersedia sebagai enam tempat duduk dengan kerusi individu di barisan kedua.
Nadi kenderaan ini adalah sistem motor elektrik sinergi (EMS) 48V yang inovatif dan mengintegrasikan enam komponen teras, termasuk motor 'belt-starter generator' (BSG) 48V, pengubah DCDC, bateri lithium-ion 48V, sistem pengurusan bateri dan sistem kawalan modul hibrid.
"Berteraskan rangkaian kuasa dengan sistem EMS 48V dan enjin 1.5L TGDi yang memenangi anugerah, X90 memberi (hentakan) output gabungan 190PS dan 300Nm.
"EMS 48V menyuntik dorongan tambahan 13PS dan 45Nm yang menjadikannya pilihan berkuasa namun menjimatkan bagi pakej SUV tiga barisan. Rangkaian kuasa itu telah menerima penghargaan di pasaran seperti China dan Filipina serta dipasang dengan transmisi 7-kelajuan dwicekam yang pantas dan dioptimumkan untuk sistem baharu bagi menghasilkan pengalaman mengemudi yang dinamik, mantap serta lancar," kata Proton dalam satu kenyataan.
Menurut Proton, sistem berkuasa ini tidak hanya meningkatkan kecekapan bahan api dan mengurangkan pelepasan, namun turut memberi kuasa dan tork tambahan untuk prestasi lebih baik.
"Ini adalah kenderaan mampan yang menawarkan prestasi luar biasa dengan aspek mesra alam sebagai teras, kemudahan memotong kenderaan lain serta daya pecutan lancar," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah menyifatkan X90 sebagai paparan komitmen syarikat itu dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon dengan menggunapakai teknologi enjin hijau ke arah menetapkan standard baharu dalam mobiliti kelestarian.
Beliau berkata, harga Proton X90 tersebut akan diumumkan pada majlis pelancaran rasmi yang dijadualkan dalam masa terdekat ini.
Model X90 itu akan dipasang di kilang Proton Tanjung Malim bersama dengan X50 dan X70. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!