KPM setuju sesi persekolahan bermula Januari

KPM secara prinsipnya bersetuju mengembalikan semula sesi persekolahan kepada Januari. - Gambar hiasan, gambar kecil: Fadhlina
KPM secara prinsipnya bersetuju mengembalikan semula sesi persekolahan kepada Januari. - Gambar hiasan, gambar kecil: Fadhlina
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) secara prinsipnya bersetuju untuk mengembalikan sesi persekolahan kepada Januari setelah menerima banyak pandangan khususnya daripada ibu bapa berhubungan kepentingan keputusan itu dibuat.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bagaimanapun memaklumkan, perubahan itu tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh terdekat ekoran ia perlu mengambil kira pelbagai faktor yang perlu diselesaikan termasuk pelbagai justifikasi berdasarkan pematuhan kepada Akta Pendidikan 1996.

Menurut beliau, perancangan untuk mengembalikan kalendar akademik persekolahan pada Januari dan berakhir pada Disember perlu memastikan silibus setiap mata pelajaran dapat diselesaikan.

“Selain tidak (akan) mengganggu jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“KPM juga perlu mengambil kira faktor cuaca tidak menentu dan ekonomi setempat.

“Dalam masa sama, (kita) perlu mematuhi (aspek lain) termasuk bilangan persekolahan murid yang tidak boleh kurang daripada 190 hari dalam tempoh setahun," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 bagi KPM di Dewan Rakyat pada Selasa.

Sebelum ini, KPM dilaporkan memberi jaminan permulaan takwim sesi persekolahan akan kembali bermula pada Januari, namun memerlukan tempoh tertentu untuk dilaksanakan.

Memetik laporan media, Fadhlina berkata, beliau memahami sentimen dan semangat ibu bapa yang mahu sesi persekolahan dibuka pada Januari berbanding Mac ketika ini.

Permulaan takwim persekolahan itu diubah daripada Januari kepada Mac sejak 2022, selepas KPM mengumumkan sesi persekolahan 2021 dilanjutkan hingga Februari tahun berikutnya ketika sesi persekolahan terkesan akibat pandemik Covid-19 melanda negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!