Zii Jia kembali ke BAM?
PERSOALAN sama ada perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih menjadi tanda tanya.
Desas desus yang timbul mengatakan Zii Jia akan kembali ke BAM semakin jelas selepas Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memuat naik gambar beliau bertemu pemain berusia 25 tahun itu beberapa kali di laman rasmi Instagramnya, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Mohamad Norza, ketika dihubungi Bernama pada Selasa memaklumkan, dua pertemuannya bersama pemain nombor empat dunia di sebuah restoran adalah secara kebetulan dan tidak dirancang.
Beliau pada masa sama enggan memberi sebarang komen mengenai adakah juara Seluruh England 2021 itu akan kembali bernaung di bawah badan induk sukan badminton kebangsaan itu.
"Buat masa ini tiada komen, setakat dua pertemuan adalah terserempak, bukan dirancang, saya pun nak tunggu hasil Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang ingin bertemu Zii Jia,” katanya.
Baru-baru ini sebuah media tempatan melaporkan Zii Jia berkemungkinan kembali ke BAM apabila pasukan Road To Gold (RTG) difahamkan bakal menggerakkan semula pemain terbabit untuk kembali bernaung di bawah badan induk berkenaan.
Dalam pada itu, Mohamad Norza, yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), mengesahkan pertemuan rasmi bersama pemain berasal dari Alor Setar, Kedah itu akan diadakan melalui program RTG yang akan dipengerusikan oleh Hannah dan beliau sendiri.
"Kita akan lihat keperluan dia (Zii Jia),” katanya ringkas.
Sebelum ini, media melaporkan Hannah memberitahu akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Zii Jia sebaik pemain itu pulang ke tanah air selepas tamat siri kejohanan di Eropah untuk membantu atlet berkenaan susulan prestasi tidak menentu pemain profesional itu sejak kebelakangan ini.
Mengulas mengenai prestasi Zii Jia yang baru pulang daripada Kejohanan All England dan Terbuka Switzerland, Mohamad Norza menyifatkan pemain itu sudah menemui rentak kemenangannya dan perlu diberikan masa untuk beraksi lebih baik.
Pada kejohanan All England menyaksikan, Zii Jia tersingkir di peringkat separuh akhir selepas ditewaskan pemain China, Shi Yu Qi 19-21,13-21, manakala beliau turut terkandas di pusingan sama di tangan pemain Jepun, Koki Watanabe, 11-21, 14-21 di Terbuka Switzerland. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!