Jack Ma kembali ke China

Ma (dua dari kanan) dilihat bertemu dengan wakil Hangzhou Yungu School di Hangzhou, wilayah Zhejiang. - Foto Agensi
Ma (dua dari kanan) dilihat bertemu dengan wakil Hangzhou Yungu School di Hangzhou, wilayah Zhejiang. - Foto Agensi
A
A
A

BEIJING - Pengasas Alibaba, Jack Ma dilaporkan kembali ke Tanah Besar China selepas lebih setahun beliau menetap di beberapa negara setelah memilih untuk hidup secara low profile.

Ma membuat kemunculan di tanah air ketika beliau mengadakan lawatan ke sekolah di bandar Hangzhou, wilayah Zhejiang pada Isnin.

Beliau turut beramah mesra dengan guru dan pelajar di sekolah swasta, Hangzhou Yungu School diasaskan olehnya pada 2017 yang menawarkan pendidikan dari peringkat tadika hingga sekolah tinggi.

Kunjungan Ma, 58, juga dikongsi pihak sekolah tersebut menerusi WeChat.

Bilionair tersebut dikatakan mengadakan perbincangan tentang masa depan pendidikan dalam era teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin pesat berkembang.

“Kita perlu menggunakan AI untuk menyelesaikan masalah dan bukan dikawal olehnya,” tegas Ma sambil menambah, teknologi seperti ChatGPT telah memberi cabaran kepada pendidik.

Difahamkan, Ma merupakan bekas guru bahasa Inggeris sebelum mengasaskan syarikat e-dagang dan beliau sentiasa mengulangi kenyataan bahawa mengajar adalah profesion kegemarannya dan berharap dapat kembali menjadi pendidik.

Sebelum pulang ke Beijing, Ma dikatakan singgah sebentar di Hong Kong dan bertemu rakannya serta berkunjung ke galeri seni, Art Basel.

Kepulangan Ma ke Hangzhou pada minggu ini telah menyuntik keyakinan yang amat diperlukan dalam sektor swasta, selain membantu untuk menghilangkan kebimbangan tentang keselamatan peribadi usahawan perniagaan.

Beliau yang melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Alibaba ketika ulang tahun kelahirannya yang ke-55 pada 2019 mengembara ke banyak negara untuk mempelajari tentang teknologi pertanian.

Sebelum ini, keberadaan beliau pernah mencetuskan tanda tanya banyak pihak selepas kehilangannya dikaitkan dengan tindakan tegas Beijing terhadap syarikatnya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!