Yakult laksana Kempen Kesedaran Kesihatan Wanita
SHAH ALAM - Bagi meningkatkan tahap kesedaran penduduk Malaysia mengenai risiko kanser payudara, kanser serviks dan kanser usus besar, Yakult (Malaysia) Sdn Bhd dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Pasir Mas menganjurkan Kempen Kesedaran Kesihatan Wanita.
Program dengan kerjasama Klinik Kesihatan Bandar Pasir Mas itu juga untuk menghargai wanita sempena sambutan Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac setiap tahun.
Pengarah Urusan Yakult, Hiroki Yanase berkata, program itu merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yakult bertujuan untuk membawa kesihatan dan kebahagiaan kepada orang ramai.
“Kami juga ingin menekankan tentang pencegahan (penyakit) adalah lebih baik daripada mengubati.
"Ia juga selaras dengan falsafah syarikat yang menekankan penggunaan probiotik iaitu bakteria berfaedah untuk membantu meningkatkan fungsi usus," katanya pada program itu yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim 3 Pasir Mas.
Antara aktiviti yang diadakan pada program berkenaan adalah pemeriksaan kesihatan termasuk pemeriksaan gigi, tekanan darah tinggi, paras gula serta pemeriksaan kanser payudara dan serviks.
Yakult dan Klinik Kesihatan Pasir Mas juga menjemput panel bagi memberi perkongsian melalui ceramah mengenai kanser payudara, serviks serta kesihatan mental wanita.
Kata Hiroki, aktiviti CSR tersebut selaras dengan falsafah korporat Yakult iaitu pencegahan penyakit yang mana Yakult percaya bahawa mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!