Wujudkan pegawai agama di hospital
IPOH - Kerajaan disarankan mewujudkan perjawatan pegawai agama di hospital bagi memperkasakan lagi konsep Hospital Mesra Ibadah di negara ini.
Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib berkata, Hospital Mesra Ibadah merupakan program di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) yang memfokuskan kepada kesejahteraan pelanggan melalui penerapan serta penghayatan ibadah semasa dan selepas mendapat rawatan.
Menurutnya, kakitangan hospital khususnya perawat perubatan Muslim perlu memikul tanggungjawab dalam memastikan pesakit Muslim menerima bimbingan yang betul untuk melakukan ibadah dan amalan keagamaan.
"Kewajaran memberikan panduan kepada pesakit untuk beribadah menjadi satu kewajipan dan bukan pilihan terutama berkaitan perkara asas seperti cara wuduk pesakit, pelaksanaan tayamum, cara solat pesakit dan beberapa berkaitan ibadah pesakit.
"Maka perjawatan pegawai agama di hospital menjadi satu keperluan untuk diwujudkan agar segala usaha merealisasikan Hospital Mesra Ibadah ini dicapai dengan baik sekali gus boleh dijadikan model kepada dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, di Malaysia, amalan seperti ziarah pesakit oleh pegawai agama atau sukarelawan hospital yang membantu pesakit sudah wujud namun tiada suatu latihan khusus atau garis panduan tepat bagi membantu pesakit dan keluarga dari sudut keperluan spiritual.
Menurutnya, peranan pegawai agama di hospital boleh membantu pesakit dari banyak aspek memberi tazkirah atau memberi tunjuk ajar kepada pesakit dalam menunaikan solat ketika uzur sehinggalah mengajar pesakit yang sedang melalui sakaratulmaut untuk mengucapkan dua kalimah syahadah.
Jelas Muhammad Ismi, untuk permulaan, perjawatan bagi perkhidmatan pegawai agama di hospital boleh dilaksanakan secara kontrak dahulu waktu ini bagi tujuan perintis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!