Pembiayaan IPR dijangka mula disalur April

Saraswathy dalam sidang akhbar pada Selasa.
Saraswathy dalam sidang akhbar pada Selasa.
A
A
A

TAPAH - Pembiayaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dijangka mula disalur April depan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, K Saraswathy berkata, insiatif diperkenalkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi itu dapat membantu golongan miskin tegar yang menerima bantuan peralatan atau baru menceburi pertanian menubuhkan koperasi bagi memulakan perniagaan.

"Apa yang dicadangkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi (Rafizi Ramli) ini lebih bersasar kepada mereka di bawah paras kemiskinan tegar.

"Jadi akan ada satu usaha bersama membolehkan kita mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan itu.

"Kemungkinan pada April, pembiayaan akan mula disalurkan dan selepas itu kita akan ada penubuhan koperasi yang lebih setempat di kawasan mereka berada," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Program Sentuhan Mesra Gerakan Koperasi dan Tautan Kasih

Ramadan di Pertubuhan Kebajikan Yayasan Anak Yatim Piatu Darul Aitam, Temoh di sini pada Selasa.

Saraswathy berkata, pendaftaran IPR telah mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 22,000 orang telah mendaftar dalam tempoh satu bulan.

Katanya, pendaftaran itu diterima daripada keseluruhan 150,000 individu miskin tegar yang layak sejak inisiatif dimulakan pada Februari lalu.

"Jumlah ini (miskin tegar layak) boleh ditambah lagi sehingga 180,000 orang mengambil kira mereka yang tertinggal dalam kiraan sebelum ini mempunyai kelayakan sama," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023, berkata, kerajaan akan melaksanakan IPR dengan peruntukan sejumlah RM750 juta kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan bantuan berkenaan.

Program tersebut menyasarkan peserta meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan dalam tempoh pemantauan 24 bulan dan selepas itu dapat menjana pendapatan sendiri melalui hasil yang diperolehi.

Menerusi program itu, peserta boleh membuat permohonan IPR yang terdiri daripada kategori Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!