Kes Hakim Nazlan: Kerajaan hormati keputusan Mahkamah Persekutuan

Laporan Sinar Harian pada 24 Februari 2023. Anwar (kanan).
Laporan Sinar Harian pada 24 Februari 2023. Anwar (kanan).
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan mengambil maklum dan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan serta pertimbangan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan bertarikh 24 Februari itu serta pertimbangan Ketua Hakim Negara, bahawa tiada elemen kepentingan awam dalam siasatan terhadap Mohd Nazlan.

"SPRM ialah badan bebas dan berhak melakukan penyiasatan ke atas mana-mana pihak.

"Sementara itu, kaedah yang ditetapkan bagi badan kehakiman adalah dengan merujuk kepada kod etika hakim, sekiranya mempunyai asas kukuh,” katanya kepada Bernama selepas program Ihya Ramadan di Masjid Putra di sini pada Selasa.

Pada 24 Februari lepas, panel tujuh anggota Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa siasatan oleh SPRM terhadap Mohd Nazlan dilakukan tanpa mengambil kira aspek berkaitan kebebasan kehakiman, dan tidak mengikut protokol.

Semasa menyampaikan keputusan mahkamah berhubung permohonan oleh tiga peguam yang merujuk dua persoalanan perlembagaan yang berkaitan dengan siasatan SPRM terhadap Mohd Nazlan, Tengku Maimun berkata, cara penyiasatan dijalankan ke atas Mohd Nazlan dengan menghebahkannya melalui kenyataan akhbar, kelihatan tidak menjaga soal keyakinan terhadap kebebasan badan kehakiman.

Mohd Nazlan ialah hakim perbicaraan yang mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan denda RM210 juta atas tujuh pertuduhan berkaitan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd pada 28 Julai 2020. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!