Kerajaan teliti dakwaan mangsa banjir tidak terima bantuan

Ahmad Zahid (kiri) bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selepas menunaikan solat Maghrib di Masjid Al-Ansar, Kem Sri Pantai, Seberang Takir pada Selasa. - Foto Bernama
Ahmad Zahid (kiri) bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selepas menunaikan solat Maghrib di Masjid Al-Ansar, Kem Sri Pantai, Seberang Takir pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - Kerajaan Persekutuan akan meneliti dakwaan terdapat segelintir mangsa banjir di negeri ini terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir yang tidak tersenarai sebagai penerima bantuan walaupun sudah mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya nama mereka didapati tercicir, kerajaan akan segera menyalurkan bantuan melalui peruntukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) terus ke kawasan DUN terlibat.

"Jika mereka ini telah tercicir daripada senarai oleh jawatankuasa banjir negeri dan juga oleh jawatankuasa banjir daerah maka saya akan mendapatkan peruntukan daripada Nadma ini untuk kita salurkan terus melalui Ahli Dewan Undangan Negeri,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini pada Selasa.

Lebih 100 mangsa banjir di kawasan Seberang Takir telah bertemu dengan Ahmad Zahid di LTSM pada Selasa untuk menyatakan hasrat mereka agar bantuan yang disalurkan oleh kerajaan Persekutuan kepada negeri diagihkan secara saksama.

Menurut mangsa banjir berkenaan, mereka telah memenuhi syarat dan proses yang dikehendaki oleh pentadbiran seperti pendaftaran serta melengkapkan butiran maklumat yang diperlukan dan sebagainya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran KKDW di Masjid al-Ansar, Kem Sri Pantai di sini pada Selasa.

Seramai 1,500 orang masyarakat sekitar yang terdiri daripada pelajar pusat tahfiz, asnaf dan masyarakat setempat telah diraikan dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di situ.

Terengganu merupakan lokasi keempat daripada 13 negeri bagi penganjuran Majlis Santunan Kasih Ramadan yang telah bermula pada 24 Mac di Gombak, Selangor.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan daripada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) kepada pusat-pusat anak yatim berjumlah RM21,000 berserta duit, baju dan hamper raya kepada anak-anak yatim.

Selain itu KKDW turut menyerahkan bantuan kit peralatan dan kursus 'Quick Win' Kemas untuk bidang jahitan, masakan, seni tangan dan dandanan diri kepada 60 penerima dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM210,000.

Bantuan yang diberikan kepada golongan belia, beliawanis, suri rumah dan ibu tunggal yang tergolong dalam kategori B40 luar bandar itu bagi menjana pendapatan penduduk setempat pada musim perayaan ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!