Agong, Permaisuri berbuka puasa bersama penduduk Raub

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan mengurniakan sumbangan kepada golongan memerlukan pada Majlis Berbuka Puasa di Masjid Sultan Abu Bakar pada Selasa. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan mengurniakan sumbangan kepada golongan memerlukan pada Majlis Berbuka Puasa di Masjid Sultan Abu Bakar pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

RAUB - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama penduduk daerah ini di Masjid Sultan Abu Bakar, di sini, malam ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, diiringi anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah dan Tengku Panglima Raja, Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengetuai barisan kepimpinan kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.

Pada majlis berkenaan, Seri Paduka berdua turut meluangkan masa menyantuni penduduk setempat dan memberikan sumbangan kepada golongan memerlukan selain menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat terawih.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal ketika berucap berkata, keberangkatan Seri Paduka berdua ke daerah itu menyerlahkan kasih sayang selain sifat yang sentiasa memahami denyut nadi rakyat khususnya pada Ramadan ini.

"Setiap kali ketibaan Ramadan, Seri Paduka tidak pernah lupa, malah sentiasa meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama-sama rakyat jelata sambil menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan meskipun baginda sibuk mengalas tugasan sebagai Yang di-Pertuan Agong," kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!