Iftar ala Madinah imbau memori di kampung halaman
SHAH ALAM - Majlis Iftar ala Madinah@Karangkraf mengimbau memori pengunjung kepada kemeriahan berbuka puasa di kampung halaman.
Seorang daripada pengunjung, Mohamad Afiq Fitri Mohd Azizi, 24, berkata, ia mengingatkannya kepada keluarga di Kelantan.
“Saya dapat tahu mengenai majlis ini di media sosial dan memang tak lepaskan peluang untuk datang. Suasana majlis ini dilihat cukup meriah,” katanya yang sudah lima tahun merantau ke negeri ini.
Aisyah Syafiqah Azwari, 21, pula menyifatkan program Iftar ala Madinah sebagai satu aktiviti yang dapat menghubungkan silaturahim dan mahabbah kepada para pengunjung.
Dia yang berasal dari Putrajaya berkata, ibadah puasa tidak seharusnya dilihat semata-mata kepada menahan lapar dan dahaga pada siang hari.
“Bila saya datang ke sini, saya dapat kenal orang ramai dengan lebih rapat, dapat berbual-bual dan berhubung antara satu sama lain.
“Saya boleh kata bulan Ramadan ini sebenarnya lebih meriah berbanding Syawal kerana banyaknya aktiviti sebegini,” kata anak sulung daripada empat beradik itu ketika ditemui pada majlis yang berlangsung di Karangkraf di sini.
Sementara itu, mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Nor Sofea Safirah, 22, berkata, dia tidak melepaskan peluang untuk menghadiri ke majlis iftar itu setelah mengetahuinya menerusi Instagram.
Penuntut jurusan Sarjana Muda Ukur Bangunan itu sebelum ini sering berbuka di masjid atau surau di sekitar Shah Alam.
“Apabila ada Iftar ala Madinah begini, saya agak teruja nak tahu macam mana dan ternyata memang meriah.
“Majlis ini menarik sebab saya tengok bukan setakat berbuka puasa sahaja tapi dapat mendengar tazkirah daripada ustaz dan kuiz.
“Saya pun tak sangka juga ada penganjur buat majlis berbuka macam ini. Saya harap program ini akan diteruskan pada masa akan datang,” jelasnya.
Ujar anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu, majlis tersebut dapat membantu penuntut universiti sepertinya berjimat dalam perbelanjaan makanan.
“Macam yang kita tahu sekarang, harga makanan memang naik mendadak, nak beli di bazar Ramadan pun memang sayang duit.
“Saya mencadangkan Iftar ala Madinah ini diperluaskan di kawasan-kawasan kampus supaya dapat membantu ringankan beban mahasiswa yang kurang berkemampuan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!