Teruja nak raya, jangan lupa bayar zakat fitrah

Gambar hiasan - Foto LZS
Gambar hiasan - Foto LZS
A
A
A

HARI ini pada tanggal 29 Mac 2023 baru hari ketujuh berpuasa. Bagaimanapun, kebanyakan ibu bapa sudah sibuk membuat persiapan puasa dan raya meskipun dalam kesibukan bekerja. Ada yang sudah pun membeli pakaian raya lebih awal, ada juga mula membuat kuih-muih.

Ketika membuat liputan kempen Sesuci Lebaran di Aman Central baru-baru ini, penulis dapati ramai ibu bapa sudah mula membeli-belah persiapan baju raya. Ketika itu, masih berbaki tujuh hari memasuki bulan Ramadan, namun sebilangan penduduk di bandar Alor Setar telah membuat persiapan raya.

Manakan tidak, tahun lepas kita semua termasuklah penulis sendiri dikejutkan dengan raya awal sehari iaitu pada 2 Mei berbanding 3 Mei. Sewaktu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan Syawal disambut pada 2 Mei, penulis dan beberapa ahli keluarga terpaku depan televisyen.

Bayangkan, hidangan seperti ketupat dan rendang belum dimasak, rumah belum siap dihias indah, kelengkapan baju raya belum cukup. Memang panik dan kelam kabut habis.

Mujur kami tidak melambat-lambatkan bayaran apabila membayar zakat fitrah beberapa hari sebelumnya kerana Aidilfitri disambut sehari lebih awal daripada dijangkakan.

Jadi, rasanya tidak terlalu awal untuk penulis ingatkan kita semua untuk membayar zakat fitrah meskipun baru Ramadan ketujuh.

Zakat fitrah wajib dikeluarkan setiap umat Islam bagi menyucikan jiwa mereka berpuasa dan membantu fakir dan miskin membuat persiapan raya. Di negeri Jelapang Padi, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mengumumkan empat kadar zakat fitrah ditetapkan di Kedah tahun ini iaitu RM6.50, RM7, RM14 dan RM21. Empat kadar ditetapkan berbanding hanya tiga kadar iaitu RM7, RM14 dan RM21 tahun lepas.

Pengerusi LZNK, Datuk Norizan Khazali memaklumkan penetapan kadar itu berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis dimakan kebanyakan penduduk Islam di Kedah. Sebenarnya, Kedah pernah menetapkan lapan kadar zakat fitrah pada tahun 1989-1990.

Ketika itu, Kedah menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang melaksanakan lapan kadar zakat fitrah sedangkan negeri lain melaksanakan satu kadar sahaja. Perkara ini dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman ketika berucap pada Majlis Pelancaran Zakat Fitrah Online di Menara Zakat pada Isnin minggu lepas.

Ada negeri yang meletakkan satu kadar sahaja, ada juga hingga tiga kadar zakat fitrah ini. Sebagai contohnya, Perlis menetapkan satu kadar zakat fitrah iaitu RM7, manakala negeri lain seperti Sabah (satu), Johor (dua), Pulau Pinang (tiga), Perak (tiga), Terengganu (tiga), Selangor (tiga) dan Negeri Sembilan (tiga).

Sehubungan itu, penulis membuat kesimpulan bahawa kadar zakat fitrah ditetapkan setiap negeri tidak sama, namun tetap mengikut beras lazim dimakan penduduknya. Apa yang pasti, penetapan kadar berbeza ini bagi memudahkan masyarakat membayar zakat fitrah mengikut kemampuan masing-masing.

Jadi, untuk rakyat Kedah kurang berkemampuan dan makan beras 10 peratus hancur dan setaraf hanya perlu membayar zakat fitrah sebanyak RM6.50. Yang berkemampuan, boleh bayar ikut kadar lain daripada RM7, RM14 ataupun RM21.

Jangan pula setiap hari, kita enak makan beras jenis basmathi, jepun, merah dan setaraf dengannya, namun enggan bayar kadar zakat RM21 yang ditetapkan kepada mereka.

Selain melalui amil-amil dilantik, pelbagai inisiatif diambil LZNK untuk memudahkan urusan bayaran zakat fitrah termasuklah menyediakan 27 saluran bayaran dalam talian termasuklah portal dan aplikasi LZNK.

Malah, negeri-negeri lain turut memiliki menyediakan kaedah bayaran dalam talian, misalnya Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melalui portal fitrah di https://www.zakat.com.my.

Maka, ia bukan lagi alasan untuk kita terlupa untuk membayar zakat memandangkan pembayaran boleh dilakukan di hujung jari sahaja. Langkah ini amatlah mudah dan cepat.

Jadi, jangan pula ada orang melengah-lengahkan bayaran zakat, dibimbangi nanti semuanya cukup lengkap dengan baju raya baharu dan juadah Syawal tapi terlupa pula menunaikan zakat fitrah.

* Nurul Hidayah Hamid ialah Wartawan Sinar Harian Biro Utara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!