KPDN Kedah sasar 350 peniaga bazar Ramadan tawar menu Rahmah

KPDN Kedah sasarkan 350 peniaga bazar Ramadan dapat menawarkan menu Rahmah di enam tapak Bazar Ramadan Rahmah BRR di negeri itu. - Foto Bernama
KPDN Kedah sasarkan 350 peniaga bazar Ramadan dapat menawarkan menu Rahmah di enam tapak Bazar Ramadan Rahmah BRR di negeri itu. - Foto Bernama
A
A
A

PENDANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyasarkan seramai 350 peniaga bazar Ramadan dapat menawarkan menu Rahmah di enam tapak Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di negeri itu.

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Khanth berkata, pihaknya menjangkakan ramai peniaga akan menyertai penjualan sekurang-kurangnya satu menu Rahmah berikutan mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan itu.

"Keseluruhan peniaga yang menyertai menu Rahmah di Kedah semakin meningkat mendadak... pada pelancaran di BRR di Tanah Merah, Pendang ini pun kita dapati 100 permohonan (sertai menu Rahmah) telah diterima," katanya kepada pemberita selepas merasmikan BRR di Tanah Merah di sini.

Mengenai BRR, Affendi berkata, seramai 1,000 pengunjung terawal akan turut menerima e-dompet bernilai RM20 seorang sekali gus membantu mengurangkan kos membeli juadah berbuka dan baki untuk 5,000 pengunjung lagi akan diperluas dalam masa terdekat.

"Ia melalui penyedia platform e-dompet yang bekerjasama dengan pihak kita (KPDN Kedah) dan telah mendapat maklum balas positif daripada pengguna," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bekalan telur ayam di Kedah masih mencukupi dan pihaknya belum menerima aduan mengenai kekurangan bekalan itu mahupun kenaikan harga telur ayam dalam tempoh Ramadan setakat ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!