Maut digilis treler
TUMPAT - Seorang lelaki maut selepas digilis sebuah treler di atas jambatan rel kereta api Wakaf Bharu, di Kilometer 5 jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor, hari ini.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari, mangsa Mohd Faizal Nordin, 33, merupakan pekerja sebuah pasaraya di PKT Wakaf Bharu maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika penunggang motosikal dipercayai cuba memotong treler tersebut.
"Kedua-dua kenderaan ini dari arah Wakaf Bharu menghala ke Kota Bharu.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa cuba memotong treler tersebut melalui sebelah kiri tetapi bergesel dengan treler tersebut.
"Motosikal jenis Yamaha Ego yang ditunggang mangsa hilang kawalan lalu terjatuh ke atas jalan dan pada masa sama tayar belakang treler tergilis mangsa," katanya.
Menurutnya, mangsa beralamat di Kampung Pintu Geng disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!