Didenda RM30,000 jual kasut jenama 'Evisu'

Tertuduh didenda RM30,000 selepas didapati bersalah menjual 1,245 unit kasut dengan menyalahgunakan cap dagang jenama Evisu, tahun lalu.
Tertuduh didenda RM30,000 selepas didapati bersalah menjual 1,245 unit kasut dengan menyalahgunakan cap dagang jenama Evisu, tahun lalu.
A
A
A

IPOH - Pemilik syarikat didenda RM30,000 di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu selepas didapati bersalah menjual 1,245 unit kasut dengan menyalahgunakan cap dagang jenama Evisu, tahun lalu.

Hakim Azizah Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Poon Yoke Lee, 52, selepas mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didapati memperdagangkan 1,230 unit kasut wanita dan 15 unit kasut kanak-kanak perempuan pelbagai corak, saiz dan warna Evisu yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis Tingkat 1 Ipoh Parade, Jalan Sultan Abdul Jalil dalam daerah Kinta kira-kira jam 12 tengah hari, 9 Jun tahun lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102 (1)(i) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh yang diwakili Peguam Mohd Khairul Fairuz Rahman merayu hukuman denda minimum dapat diberikan dengan alasan perlu menanggung isteri dan empat anak yang masih bersekolah.

Tertuduh yang memulakan perniagaan sejak 2001 turut berdepan tunggakan sewa premis selama dua tahun berjumlah keseluruhan RM234,000.

Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhammad Ridzuan Abd Rahim memohon hukuman denda RM30,000 sebagai pengajaran kerana berkaitan dengan kepentingan awam.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda RM30,000 atau penjara satu bulan jika gagal bayar.

Mahkamah turut memerintahkan barang kes dilucut hak kepada KPDN di bawah Seksyen 127(2) Akta Cap Dagangan 2019.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!