Johor hasrat buka pusat proses visa China
JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor berhasrat untuk membuka pusat pemprosesan visa China di negeri ini dalam usaha memudahkan proses permohonan visa pengembara dan meningkatkan kemasukan pelancong negara itu.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K Raven Kumar berkata, pihaknya kini sedang berbincang dengan pihak kedutaan China berkenaan usaha itu.
"Perbincangan sedang berjalan ketika ini dan diharapkan bakal menghasilkan keputusan yang positif.
“Apapun, kerajaan negeri sememangnya berhasrat untuk melihat pusat proses visa wujud di sini.
"Kita turut dimaklumkan ada laluan baharu bakal dibuka ke Indonesia, Korea dan juga ke beberapa destinasi lain,” katanya.
Raven Kumar berkata demikian ketika menyambut kedatangan penerbangan pertama dari Guangzhou ke Johor secara penerbangan terus buat kali pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini pada Rabu.
Dianggarkan lebih 100 pelancong dari China disambut di lapangan terbang berkenaan sempena penerbangan pertama itu.
Tambah Raven Kumar, pada masa ini terdapat tiga penerbangan antara Guangzhou dan Johor setiap minggu, namun kekerapan penerbangan itu mungkin akan ditambah pada masa depan.
Beliau berkata, pihaknya turut menyasarkan beberapa daerah lain di China selain Ghuangzhou untuk penerbangan terus ke Johor.
"Kami juga sedang bekerjasama dengan syarikat penerbangan lain dalam usaha mengenal pasti daerah yang memiliki kepadatan penduduk yang tinggi.
“Populasi di China memang tinggi, jadi kita perlu sasarkan kawasan-kawasan di daerah yang lain pula selain Guangzhou, mungkin selepas ini kita nak luaskan pula hingga ke Beijing,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!