Lapor JKNT jika makanan dibeli busuk, basi

Dr Kasemani memberi penerangan mengenai kod imbasan QR yang ditempatkan di bazar Ramadan kepada peniaga ketika melawat bazar Ramadan Gong Badak, Kuala Nerus.
Dr Kasemani memberi penerangan mengenai kod imbasan QR yang ditempatkan di bazar Ramadan kepada peniaga ketika melawat bazar Ramadan Gong Badak, Kuala Nerus.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) meminta orang ramai membuat aduan secara terus kepada jabatan tersebut sekiranya ada terbeli makanan basi, tidak masak sempurna atau berbau busuk sepanjang Ramadan.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, aduan itu bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dapat diambil terhadap peniaga tidak beretika berkenaan sekali gus mengelak berlakunya kejadian keracunan makanan.

Menurutnya, orang ramai boleh menyalurkan maklumat lengkap seperti lokasi kedai, gambar dan video makanan kepada pejabat kesihatan daerah berhampiran atau melalui kod imbasan QR yang disediakan di 61 lokasi bazar Ramadan di lapan daerah Terengganu.

“Sekarang kita sudah mudahkan urusan pengguna untuk buat sebarang aduan dengan hanya scan kod QR yang disediakan di setiap bazar Ramadan.

“Kita mengambil serius dan tidak berkompromi dengan isu keselamatan makanan namun begitu setakat ini, kita belum menerima sebarang aduan mengenai perkara ini,” katanya di sini pada Rabu.

Sebelum ini, tular dalam media sosial mengenai kekecewaan beberapa pelanggan yang berkunjung ke bazar Ramadan apabila lauk dibeli mereka tidak masak dengan sempurna selain makanan berbau busuk dan basi.

Mengulas lanjut, Dr Kasemani berkata, setiap pengendali makanan perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan di bawahnya bagi memastikan makanan yang disediakan dan dijual adalah selamat.

Sehubungan itu katanya, JKNT melalui 366 anggota penguat kuasanya akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan di semua bazar Ramadan berdaftar serta tidak berdaftar sepanjang Ramadan kali ini.

“Sejak 1 Ramadan hingga Isnin lalu, sebanyak 827 premis bazar Ramadan di seluruh negeri sudah diperiksa oleh JKNT dan kita berjaya mengesan beberapa kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Antara kesalahan itu adalah menggaji pekerja yang tidak mendapat suntikan anti-typhoid dan belum menghadiri kursus latihan pengendali makanan, pengendali makanan tidak mendapat suntikan anti-typhoid dan tidak hadiri latihan pengendali makanan.

“Selain itu, kesalahan lain yang turut dikesan ialah pengendali makanan tidak memakai apron atau pakaian pelindung dan tidak mengamalkan kebersihan diri,” katanya.

Dr Kasemani turut menasihati orang ramai dan pengunjung bazar Ramadan supaya sentiasa memilih gerai atau premis makanan bersih, makanan tertutup dengan baik dan pengendali beretika sebelum membeli juadah berbuka puasa.

“Pilih pengendali makanan yang memakai apron, penutup kepala, guna penyepit atau sarung tangan ketika mengendalikan makanan dan menjaga kebersihan diri seperti kuku yang pendek serta tidak memakai barang perhiasan diri seperti cincin.

“Amalkan juga konsep lihat, hidu dan rasa sebelum menjamah makanan bagi memastikan makanan yang dibeli adalah selamat serta bersih supaya terhindar dari risiko keracunan makanan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!