Tahanan rakyat Malaysia di Guantanamo dapat tarikh perbicaraan baharu
KUALA LUMPUR - Mahkamah tentera Amerika Syarikat (AS) menetapkan tarikh baharu perbicaraan bagi dua suspek militan rakyat Malaysia yang ditahan di penjara Teluk Guantanamo di Cuba, kira-kira 20 bulan selepas ia ditangguhkan berikutan bantahan mereka terhadap kualiti jurubahasa Bahasa Melayu.
Menurut laporan Free Malaysia Today (FMT), Brian Bouffard iaitu peguam utama salah seorang suspek, Mohammed Nazir Lep memaklumkan tempoh dua minggu mulai 24 April telah ditetapkan untuk perbicaraan.
Bagaimanapun, katanya, Nazir yang menghadapi perbicaraan bersama Mohammed Farik Amin dan warga Indonesia Encep Nurjaman, juga dikenali sebagai Hambali, bimbang tiga jurubahasa yang dibantah oleh mereka sebelum ini ditugaskan semula untuk kes itu.
“Salah seorangnya adalah bekas jurubahasa dengan keistimewaan peguam-klien yang menimbulkan konflik kepentingan. Seorang lagi bekas jurubahasa sulit untuk ketiga-tiga mereka dan seorang lagi menyatakan kerajaan membuang masa dan wang membicarakan (ketiga-tiga suspek) dan berharap mereka mati dalam tahanan,” Brian memberitahu portal berita itu menerusi e-mel.
Bouffard berkata, pasukannya akan menangani isu jurubahasa yang telah berlarutan tanpa penyelesaian selama hampir 20 bulan, kelewatan berterusan kes itu dan kegagalan kerajaan untuk mendedahkan keterangan.
“Nazir tidak mahu sebarang penangguhan lagi dan mahu perbicaraan yang adil, dengan semua keterangan berkaitan, secepat mungkin. Pendiriannya tentang perkara ini konsisten sejak dia ditahan 20 tahun lalu," ujar Bouffard.
Ketiga-tiga suspek berdepan lapan tuduhan bersama termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar yang mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di hotel JW Marriott di Jakarta pada Ogos 2003.
Trio tersebut ditangkap di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia yang dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!