Kaut upah lumayan daripada along ugut peminjam

Mohd Iqbal (tiga dari kiri) menunjukkan barang kes pada sidang akhbar di IPD Shah Alam pada Rabu. FOTO: SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
Mohd Iqbal (tiga dari kiri) menunjukkan barang kes pada sidang akhbar di IPD Shah Alam pada Rabu. FOTO: SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Ambil upah daripada beberapa along untuk melakukan khianat menyimbah cat, mengunci pintu rumah peminjam dikehendaki.

Itu tindakan dilakukan oleh sembilan individu termasuk pasangan suami isteri demi memperoleh upah lumayan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kesemua mereka ditahan dalam serbuan dijalankan di sekitar Sungai Besi pada Ahad dan Isnin lalu.

Menurutnya, mereka menerima upah antara RM300 hingga RM450 mengikut jarak rumah dan teknik ugutan dilakukan terhadap peminjam along yang gagal melunaskan pinjaman.

"Suspek utama berumur 41 tahun yang bertindak sebagai dalang pada mulanya ingin melakukan pinjaman dengan ah long, bagaimanapun pinjaman tidak diberikan sebaliknya ditawarkan upah untuk menakutkan peminjam.

"Suspek yang dipercayai memperoleh upah lumayan kemudian menarik rakan-rakan yang lain untuk bersama melakukan kegiatan tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini pada Rabu.

Beliau berkata, kumpulan ini dipercayai bergerak aktif sejak Februari lalu di sekitar kawasan Shah Alam, Selangor dan Kuala Lumpur.

"Bermula mengambil upah daripada satu along, kumpulan ini kemudiannya dipercayai bergerak aktif dengan mengambil upah dengan melibatkan beberapa along bagi mendapatkan hasil yang lumayan.

"Kumpulan ini akan diarahkan oleh along untuk membuat ugutan dengan cara menampal notis, mengunci rumah peminjam dan menyimbah cat," katanya.

Menurut Mohd Iqbal, kumpulan ini dipercayai berurusan dengan along menerusi aplikasi Whats App.

"Arahan diterima menerusi WhatsApp dan setiap arahan yang dilaksanakan, video sebagai bukti akan dihantar kepada along.

"Bayaran upah kemudiannya akan dimasukkan menerusi pindahan wang dalam talian kepada salah seorang suspek," katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek yang diberkas berumur antara 21 sehingga 41 tahun.

"Semakan rekod yang dijalankan mendapati tujuh suspek lelaki mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah.

"Ujian saringan yang dijalankan mendapati enam suspek lelaki positif dadah jenis syabu," katanya.

Ujar Mohd Iqbal, kesemua suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!