Ahli Parlimen PN diarah keluar dewan, digantung tiga hari
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh digantung tiga hari bermula Rabu daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat kerana gagal mematuhi peraturan mesyuarat.
Keputusan itu dibuat Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor susulan keengganan ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) itu mendengar arahan yang dikeluarkan terhadapnya.
Kekecohan bermula susulan tindakan ahli Parlimen pembangkang membangkitkan mengenai isu penggunaan bahasa Inggeris dalam dua Rang Undang-Undang (RUU) yang akan dibentangkan pada Rabu.
Ramli sebelum itu memberi amaran kepada Che Mohamad Zulkifly untuk duduk bagi memberi ruang kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh memberi penjelasan.
Bagaimanapun perkara itu tidak diendah Che Mohamad Zulkifly sehingga Ramli mengeluarkan amaran kali ketiga dan memutuskan beliau digantung selama tiga hari.
“Saya suruh duduk. Duduk. Duduk. Bentara, tiga hari, selesaikan,” katanya.
Che Mohd Zulkilfi sekali lagi bangkit meminta penjelasan mengenai tempoh penggantungannya itu.
“Penjelasan sedikit. Tiga hari, bermula? Bermula esok dan hari ini. Sabtu masuk?,” katanya.
Ramli kemudiannya menjelaskan, tempoh tiga hari itu bermula Rabu sehingga Isnin ini.
Sebelum itu, Dewan Rakyat kecoh hampir 20 minit selepas Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menegur perkataan bahasa Inggeris dalam dua RUU yang akan dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menurutnya, perkataan itu menimbulkan kekeliruan kerana ia boleh membawa banyak maksud dalam bahasa Melayu.
Ramkarpal kemudiannya bangkit menjelaskan perkataan itu turut digunakan kerajaan sebelum ini namun tidak pula menjadi isu.
Ramli kemudiannya meminta Takiyuddin dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) membawa isu tersebut kepada Speaker Dewan Rakyat sekiranya masih tidak berpuas hati.
Beliau kemudian membuat keputusan RUU tersebut diteruskan pembentangannya pada Rabu seperti dijadualkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!