Tarif air bukan domestik diwartakan kerajaan Persekutuan - PBAPP
GEORGETOWN - Tarif air baharu bagi penggunaan bukan domestik di Pulau Pinang tidak diwartakan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) atau kerajaan negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP dan Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd, K Pathmanathan berkata, tarif baharu itu telah ditetapkan, diluluskan dan diwartakan di bawah peraturan Persekutuan oleh kerajaan Persekutuan sebelum ini pada 29 Julai 2022.
Oleh demikian, kata Pathmanathan, semua komen, kritikan dan aduan mengenai Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (kadar Perkhidmatan Bekalan Air) (Negeri Pulau Pinang) (Pindaan) 2022 perlu diajukan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
"Terdapat kenyataan dan dakwaan yang mengelirukan yang disiarkan dalam media massa baru-baru ini berhubung pelaksanaan tarif baharu untuk penggunaan bukan domestik di Pulau Pinang. PBAPP ingin membuat penjelasan berhubung perkara ini bagi mengelak salah faham orang ramai.
"Harus diingat, SPAN merupakan badan kawal selia perkhidmatan air negara. Dalam surat rasmi bertarikh 14 Julai 2022, SPAN memaklumkan bahawa kerajaan Persekutuan (sebelum ini) telah memutuskan untuk melaksanakan semakan tarif air untuk penggunaan bukan domestik dan penggunaan kategori khas untuk semua negeri di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.
"Sementara itu, dalam surat bertarikh 29 Julai 2022, SPAN memaklumkan PBAPP bahawa peraturan kerajaan Persekutuan bertajuk Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (kadar bagi Perkhidmatan Bekalan Air) (Negeri Pulau Pinang) (Pindaan) 2022 telah diwartakan untuk pelaksanaan mulai 1 Ogos 2022," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kata beliau lagi, SPAN juga telah menerbitkan peraturan yang menyatakan tarif baharu untuk penggunaan bukan domestik di Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Terengganu dan WP Labuan.
Oleh demikian katanya, Pulau Pinang bukan satu-satunya negeri yang mengenakan tarif baharu untuk penggunaan bukan domestik.
"Ini bermakna kerajaan Persekutuan sebelum ini menaikkan tarif penggunaan bukan domestik untuk semua negeri di Semenanjung Malaysia dan WP Labuan secara serentak tahun lalu. Tarif air domestik untuk Pulau Pinang dan semua negeri lain tidak mengalami perubahan dalam peraturan yang diterbitkan.
"Seperti dinyatakan oleh peraturan Persekutuan bagi semua negeri Semenanjung yang diwartakan, penggunaan air oleh sekolah-sekolah di Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Terengganu dan WP Labuan dikategorikan sebagai penggunaan bukan domestik," katanya.
Jelas Pathmanathan, PBAPP hanya dimaklumkan secara rasmi mengenai tarif yang disemak untuk penggunaan bukan domestik di Pulau Pinang dan pengkategorian penggunaan air oleh sekolah sebagai penggunaan bukan domestik selepas pewartaan peraturan Persekutuan.
"Sebagai operator bekalan air yang memberi perkhidmatan di Pulau Pinang di bawah lesen yang dikeluarkan oleh SPAN, PBAPP bertanggungjawab untuk mematuhi peraturan Persekutuan. Kegagalan untuk mematuhi boleh membawa kepada isu pembaharuan lesen.
"Tarif yang disemak untuk penggunaan air bukan domestik di Pulau Pinang sepatutnya dilaksanakan mulai 1 Ogos tahun lalu. Bagaimanapun, PBAPP hanya memulakan pengebilan untuk penggunaan air bukan domestik di bawah peraturan baharu bermula 1 Januari tahun ini," katanya.
Tambahnya, PBAPP dan kerajaan Pulau Pinang tidak mengkategorikan penggunaan air di sekolah sebagai penggunaan bukan domestik sebaliknya kerajaan Persekutuan yang melakukannya pada 22 Julai tahun lalu.
"Kerajaan Persekutuan sebelum ini menyemak semula tarif untuk penggunaan bukan domestik untuk 11 negeri dan WP Labuan dan bukan sahaja untuk Pulau Pinang.
"Peraturan Persekutuan hanya boleh dipinda oleh kerajaan Persekutuan," kata beliau lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!