Pelajar tahun lima bawa pulang pingat emas
KOTA BHARU - Seorang murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Datu Hashim membawa pulang pingat emas bagi kategori 9 hingga 11 tahun dalam kejohanan The Intercontinental Taekwondo Championship 2019 (Wata Open) di Jepun pada 20 hingga 21 April lalu.
Nur Ainul Safia Safinei, 11, pemenang pingat emas termuda negara mewakili Kelab Sara Taekwondo Martial Art Negeri Kelantan bersama lapan peserta lain.
Nur Ainul Safia atau lebih dikenali sebagai Safia berkata, dia pada mulanya agak gugup berdepan peserta dari Brazil yang bersosok lebih tinggi daripadanya namun lebih yakin ketika pertandingan dimulakan.
“Alhamdulillah saya gembira dapat sumbangkan pingat emas untuk negara walaupun lawan lebih besar.
“Terima kasih kepada jurulatih, ibu bapa dan guru yang selama ini banyak beri tunjuk ajar dan sokongan kepada saya,” katanya yang disambut ibu, Anis Emysha Rida Othman dan guru SK Datu Hashim di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra semalam.
Safia memulakan langkahnya dalam taekwondo sejak berusia 7 tahun dan menyertai pertandingan pertama pada usia 8 tahun termasuk kejohanan antarabangsa di Hatyai, Thailand dan Jogjakarta, Indonesia.
Selain Safia dua lagi ahli kelab yang membawa pulang pingat emas ialah Asiah Ahmad Fauzi dan Siti Hajar Ahmad Fauzi.
Manakala jurulatihnya, Master Manimaran Sugomaran berkata, Safia adalah salah seorang daripada tiga peserta dari SK Datu Hashim yang dibawa menyertai kejohanan berkenaan.
Katanya, selain Safia, peserta lain turut membawa pulang dua pingat perak dan empat pingat gangsa.
“Kejohanan kali ini melibatkan penyertaan dari 25 buah negara dan kita salah satu wakil Malaysia selain penyertaan dari Sarawak dan Negeri Sembilan.
“Dalam kejohanan ini kita bertemu peserta dari negara Brazil, Thailand, Jepun, Hong Kong dan Croatia. Saya gembira apabila peserta kita membawa pulang pingat yang tak kurang hebatnya termasuk tiga emas. Syabas saya ucapkan kepada semua peserta berkenaan,” katanya yang juga Presiden Kelab Sara Taekwondo Martial Art Negeri Kelantan.
Sementara itu, Penolong Kanan SK Datu Hashim, Ismail Yusuf turut melahirkan rasa bangga di atas pencapaian Safia yang julung kali ke pertandingan lebih tinggi.
Katanya, selain aktif dalam taekwondo, Safia juga seorang murid yang pintar dalam akademik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!