'Henti fitnah Persekutuan tindas negeri tak sokong Kerajaan Perpaduan'

Anwar ketika membaca semula Belanjawan 2023 untuk dibahaskan pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
Anwar ketika membaca semula Belanjawan 2023 untuk dibahaskan pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dakwaan bahawa kerajaan Persekutuan menekan dan menindas kerajaan negeri yang tidak menyokong Kerajaan Perpaduan adalah satu fitnah yang tidak berasas, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun terdapat tohmahan yang berterusan kepadanya berkait perkara berkenaan, namun hakikatnya Kerajaan Perpaduan pimpinannya membantu dan memberi perhatian kepada semua tanpa mengira negeri.

"Tidak benar sekali...umpamanya jumlah peruntukan kepada negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah...itu lebih daripada semasa mereka memerintah selama tiga tahun.

"Oleh itu saya minta fitnah ini dihentikan, Dewan Negara ini, boleh tunjuk contoh baik, kritikan itu dibenarkan, teguran...saya sedia membuat pengubahsuaian setelah mendengar pandangan, tetapi fitnah tidak boleh diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini.

Anwar pada masa sama berkata, kadangkala fitnah yang ditabur terhadapnya adalah daripada pemimpin besar termasuk ketua-ketua parti.

"Kononnya Menteri Kewangan ini tindas, tak beri peruntukan pada negeri, atau lewat atau kurangkan, semua fakta ini salah.

"Kalau kita hujah guna al-Quran, guna hadis dan berpakaian seperti ulama, tapi buat kenyataan begini, jadi tanggungjawab saya, saya bukan serang ulama, tapi saya menyerang, membetulkan fakta yang salah itu,” katanya.

Anwar berkata tohmahan, sebaran fitnah dan maklumat yang tidak benar itu adalah satu perkara yang bertentangan dengan semangat kebenaran dan tatakelola. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!