Sidang Dewan Negara ditambah dua hari - Rais
KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Negara bagi Penggal Kedua Mesyuarat Pertama Parlimen ke-15 ditambah dua hari lagi menjadikan tempoh bersidang keseluruhan selama 14 hari dan tamat pada 11 April ini.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim berkata, beliau telah menerima satu perutusan berkait perkara berkenaan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku ketua majlis.
"Selaras dengan Peruntukan Mesyuarat 10 (2), peraturan-peraturan mesyuarat supaya Takwim Mesyuarat Dewan Negara yang sedang berjalan sekarang dipinda dengan menambah sebanyak dua hari lagi pada 10 dan 11 April iaitu Isnin dan Selasa,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Berdasarkan peraturan berkenaan, katanya, ketua atau timbalan ketua majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari masa ke masa.
Persidangan Dewan Negara sebelum ini dijadual berlangsung selama 12 hari bermula 21 Mac dan tamat pada 6 April.
Menurut Takwim Dewan Negara, perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) yang bermula hari ini dijadual berlangsung sehingga Isnin depan.
Difahamkan tambahan dua hari berkenaan bagi menyelesaikan perihal berkait RUU dan urusan kerajaan yang lain. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!