Mogok pekerja jejaskan sektor kesihatan

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mempunyai maklumat lanjut berkenaan dakwaan mogok pekerja kesihatan di sosial media dan sekiranya ia berlaku akan menjejaskan sektor tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mogok secara tidak terancang bukan suatu jalan penyelesaian terbaik terhadap permasalahan yang timbul berkaitan dengan profesion pegawai perubatan atau mana-mana skim profesional lain.

“Mogok bukan suatu jalan penyelesaian terbaik, sebaliknya permasalahan yang timbul perlu ditangani dengan penglibatan bersama serta cara lebih berhemah.

“Perkhidmatan kesihatan di negara ini perlu terus dianggap sebagai sektor yang kritikal bagi petugas kesihatan disebabkan kompleksiti, cabaran, risiko dan jerih perih dalam menjalankan tugasan dan tanggungjawab mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, pandemik Covid-19 telah mengajar bahawa tanpa sistem kesihatan yang berdaya tahan, negara tidak mungkin dapat mengawal wabak tersebut dengan baik dan orang ramai sukar meneruskan aktiviti kehidupan seperti biasa.

Tambahnya, kemakmuran yang dikecapi banyak disumbangkan oleh pakar di pelbagai peringkat sama ada sektor pencegahan atau kesihatan awam mahupun petugas di bahagian klinikal dan penyelidikan.

“Perkhidmatan kesihatan seharusnya perlu terus berdaya tahan kerana cabaran akan datang termasuk risiko krisis atau pandemik mungkin lebih hebat dan kompleks daripada apa yang kita lalui sebelum ini.

“Petugas kesihatan merupakan aset utama perlu diberi perhatian, termasuk imbuhan yang sewajarnya buat perkhidmatan mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, kerajaan dari masa ke masa telah memberi respons atau bertindak terhadap permasalahan dan permintaan yang ditimbulkan oleh anggota kesihatan diteliti sesuai dengan isu semasa serta diberi penyelesaian sewajarnya berdasarkan kepada kemampuan ekonomi negara.

“Antara respons kerajaan adalah mewujudkan perjawatan tetap, memberi penajaan latihan kepakaran atau latihan lanjutan, kenaikan pangkat secara time-based, peluang kenaikan ke gred khas dan pewujudan gred UD56 untuk pakar perubatan dan sebagainya,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!