Baucar RM10 buat pengunjung bazar bawa bekas makanan
SHAH ALAM - Pengunjung bazar Ramadan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berpeluang menikmati baucar RM10 sekiranya membawa bekas makanan di lima lokasi terpilih.
MBSJ dalam kenyataannya memaklumkan, baucar itu disediakan kepada 100 pengunjung terawal.
"Permulaan pelaksanaan baucar RM10 itu bermula di Bazar Ramadan Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan pada hari ini (Rabu)," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.
Menurut kenyataan itu, lokasi seterusnya pemberian baucar ialah di Bazar Ramadan USJ 4 Subang Jaya pada 30 Mac.
Jelas kenyataan itu, Bazar Ramadan BK 5, Bandar Kinrara pula pada 4 April; manakala Bazar Ramadan Taman Puchong Prima 7 April dan lokasi terakhir di Bazar Ramadan Taman Sri Serdang 13 April.
"Pengunjung boleh mendapatkan baucar di lokasi tersebut dan berharap kempen ini dapat melestarikan alam sekitar," ujar kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!