TriCIS, Velum Labs jalin kerjasama perkukuh risikan siber

Dari kiri, Menteri Pertahanan United Kingdom, Baroness Annabel MacNicoll Goldie dan Shahril.
Dari kiri, Menteri Pertahanan United Kingdom, Baroness Annabel MacNicoll Goldie dan Shahril.
A
A
A

SHAH ALAM – Malaysia telah menjalin kerjasama dengan firma dari United Kingdom (UK) untuk menjadi hab yang diiktiraf bagi pasaran risikan siber menerusi perjanjian perkongsian antara Velum Labs Sdn Bhd (Syarikat Sapura) dan TriCIS Ltd baru-baru ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura, Tan Sri Shahril Shamsuddin berkata, keyakinan diberikan TriCIS dan Velum Labs yang menggunakan sepenuhnya set kemahiran dan rekod prestasi dalam keselamatan serta ruang risikan siber.

“Memandangkan kami diurus dan dikendalikan oleh bakat tempatan, perkongsian ini jelas mencerminkan keupayaan bertaraf dunia dan pengetahuan teknikal yang wujud dalam tenaga kerja di Malaysia.

“Perjanjian perkongsian itu akan menyaksikan Velum Labs dan TriCIS menyediakan keupayaannya kepada pelanggan sektor kerajaan dan swasta di seluruh rantau melalui perjanjian dua hala bersama UK dan Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, Velum Labs adalah syarikat keselamatan dan perisikan siber terkemuka yang menyediakan rumusan perisikan siber yang diperoleh daripada pemahaman peneraju pasaran metodologi serangan siber.

Jelasnya,TriCIS ialah pakar yang berpangkalan di UK dalam mereka bentuk dan kejuruteraan penyelesaian bersepadu yang sangat selamat, memenuhi piawaian keselamatan kerajaan dan ketenteraan tertinggi.

“TriCIS merupakan pembekal yang dipercayai oleh Kementerian Pertahanan United Kingdom dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dengan empat dekad pengalaman.

“Pengabungan tenaga dengan TriCIS dapat melonjak inovasi dan penyelesaian luar kotak yang boleh meletakkan Malaysia di barisan hadapan teknologi telekomunikasi bagi memenuhi keperluan negara untuk mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat,” jelasnya.

Dari kiri, TriCIS CEO,Antony Summerfield; Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia, H.E. Charles Hay dan Shahril.
Dari kiri, TriCIS CEO,Antony Summerfield; Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia, H.E. Charles Hay dan Shahril.

Menurut Mordor Intelligence, Pasaran Keselamatan Siber Pertahanan Global bernilai AS$16.22 bilion pada 2020 dijangka mencecah AS$28.53 bilion menjelang 2026 telah mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 10.51 peratus dalam tempoh ramalan (2021-2026).

Laporan itu juga menekankan bahawa Asia Pasifik adalah rantau yang paling pesat berkembang untuk pasaran tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif TriCIS, Antony Summerfield berkata, kerjasama Velum Labs berkenaan pengetahuan teknikal dan kepakaran perisian dalam keselamatan perisikan siber dapat memenuhi keperluan pertahanan serta keselamatan negara di rantau ini.

"Kami juga berharap dapat memanfaatkan bakat Malaysia dan hubungan rapat dengan negara di seluruh rantau untuk mengembangkan pasaran yang pesat dan dinamik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!