Lantikan politik: Transaksi politik atau nepotisme, soal Gerakan
KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mempersoal langkah kerajaan yang membuat lebih daripada 10 lantikan politik sepanjang bulan ini.
Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, hampir separuh daripada lantikan tersebut terdiri dalam kalangan pemimpin UMNO yang mencetus tanda tanya sama ada penglibatan kerajaan dalam transaksi politik atau nepotisme.
Menurutnya, keadaan politik di Malaysia tidak stabil sejak kebelakangan ini dan adalah sukar untuk tidak menganggap lantikan itu sebagai transaksi politik yang bertujuan untuk mengekalkan rejim.
“Pemimpin UMNO yang dilantik sebagai struktur syarikat kerajaan dibuat sebelum dan selepas pemilihan parti UMNO. Ini bermakna pelantikan ini mungkin persetujuan antara UMNO dan PH (Pakatan Harapan).
“UMNO adalah salah satu parti pemerintah di Malaysia, tetapi kini pengaruh UMNO telah beransur-ansur merosot. Pelantikan ini mungkin usaha kerajaan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk menstabilkan UMNO dan meluaskan pengaruh kerajaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dominic mendakwa, pendekatan kerajaan Anwar sangat tidak bertanggungjawab dan apa yang berlaku merupakan permulaan guna kuasa demi kepentingan peribadi apabila memberikan jawatan kanan kepada penyokong dan kroni.
"Mereka bukan melantik mengikut kelayakan atau kemampuan seseorang individu," ujarnya.
Tambah Dominic, pendekatan sedemikian akan menyebabkan kerajaan kehilangan kepercayaan dan sokongan orang ramai dan juga boleh membawa kepada krisis politik.
"Sama ada disebabkan transaksi politik atau nepotisme, pelantikan ini jelas melanggar komitmen atau perjuangan kerajaan.
"Amalan ini akan membawa kepada penurunan kecekapan pengurusan kerajaan kerana mereka ini tidak dipilih secara prosedur.
"Jika pelantikan pemimpin UMNO ini didorong oleh nepotisme, maka kerajaan Anwar akan hilang kepercayaan dan sokongan orang ramai," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!