Seri Perlis jenama baharu motosikal tempatan
KANGAR - Tidak lama lagi, rakyat Malaysia akan melihat jenama Seri Perlis (SP) menyertai jutaan motosikal di atas jalan raya di negara ini.
Ia mungkin perkara biasa namun hakikatnya motosikal jenama itu adalah hasil sentuhan sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd (Modenas).
Pengarah Unit Penyelidik dan Sukan Permotoran (MoTECH) UniMAP, Prof Madya Dr Shahriman Abu Bakar berkata, pihak Modenas sangat membantu dalam menghasilkan motosikal itu.
Motosikal itu yang telah dilihat sendiri oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baharu-baharu ini akan berada di pasaran tidak lama lagi.
Motosikal gaya retro berkuasa 173cc yang dihasilkan itu berteraskan kejuruteraan universiti itu dengan dibantu para jurutera Modenas dan dijangka dijual pada harga kira-kira RM12,000 sebuah.
“Kita telah bekerjasama dengan Modenas sejak 2014 dan ia lebih rancak lagi selepas tertubuhnya Pusat Penyelidikan UniMAP-Modenas tahun lepas,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Melalui pusat penyelidikan ini, beliau berkata para pelajar diberi pendedahan dan latihan yang menghasilkan impak yang tinggi kepada industri pemotoran.
Beliau berkata, penubuhan pusat itu juga dapat mengurangkan kos penyelidikan kepada Modenas selain menghasilkan teknologi tinggi bersama UniMAP.
Ini selari dengan Dasar Automotif Negara untuk menghasilkan kenderaan berteknologi tinggi dengan kos yang rendah,”kata Shahriman.
Beliau juga berterima kasih kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang banyak memberi tunjuk ajar dan bantuan dalam merealisasikan projek berkenaan.
Motosikal menggunakan enjin Modenas empat lejang itu mempunyai transmisi empat kelajuan.- Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!