Belanda kembalikan 41 rangka manusia Guar Kepah

Rangka ‘Penang Woman’ yang dijumpai di tapak arkeologi Guar Kepah yang dianggarkan berumur lebih 5,000 tahun.
Rangka ‘Penang Woman’ yang dijumpai di tapak arkeologi Guar Kepah yang dianggarkan berumur lebih 5,000 tahun.
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan Pulau Pinang dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara bakal membawa pulang khazanah warisan negara iaitu bahagian daripada rangka manusia di Tapak Arkeologi Guar Kepah, Seberang Perai, Pulau Pinang yang tersimpan di Belanda.

MOTAC dalam satu kenyataan berkata, tapak Arkeologi Guar Kepah merupakan tapak arkeologi pertama di Malaysia yang telah dikaji oleh pengkaji barat sejak tahun 1863 hingga tahun 1936.

“Kesemua jumpaan arkeologi di tapak tersebut telah dihantar ke luar negara termasuk 41 rangka manusia yang disimpan di Naturalis Biodiversity Centre (NBC), Leiden, Belanda.

“Kini, rangka-rangka berkenaan telah diambil alih oleh kerajaan Belanda dan disimpan di Collection Centre Netherlands (CCNL) di Amersfoort, Belanda,” kata kenyataan itu pada Rabu.

Kenyataan itu menjelaskan, usaha untuk mengembalikan rangka-rangka ini telah diselaraskan oleh pihak Jabatan Warisan Negara setelah menerima permohonan rasmi daripada pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Susulan itu, pihak Kementerian Luar Negeri telah mengutus Nota Diplomatik pada Ogos 2022 kepada pihak Kedutaan Besar Belanda di Malaysia bagi menyampaikan hasrat untuk memohon membawa pulang 41 rangka manusia Tapak Arkeologi Guar Kepah dari NBC.

“MOTAC merakamkan setinggi-setinggi penghargaan kepada pihak Kerajaan Belanda atas persetujuan untuk memulangkan rangka-rangka Tapak Arkeologi Guar Kepah kepada Malaysia.

"Kementerian amat kagum dengan kepantasan proses ini dan memuji keputusan yang diambil oleh kerajaan Belanda untuk memulangkan objek yang mempunyai nilai warisan kepada negara asal,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, penghargaan turut diberikan kepada pihak Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Malaysia di Belanda atas segala kerjasama yang diberikan dalam usaha mengembalikan khazanah warisan negara ke tanah air.

Difahamkan rangka-rangka ini dijangka dibawa pulang ke Malaysia pada tahun 2024 untuk disimpan dan dipamerkan di Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang yang sedang dibangunkan.

Sekembalinya rangka-rangka tersebut, galeri dan tapak Arkeologi Guar Kepah bakal menjadi salah satu produk arkeopelancongan utama negara selain menjadi pusat interpretasi untuk menyampaikan informasi mengenai salah satu warisan arkeologi Malaysia kepada orang ramai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!