Pemuda Pas lapor polis pelukis kartun hina Islam, sindir Muhyiddin

Nazir Helmi
Nazir Helmi
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas akan membuat laporan polis secara besar-besaran berhubung perbuatan menghina Islam oleh pelukis dan pengendali laman Facebook kelab peminat seorang kartunis popular.

Ketua Penerangan Pemuda Pas, Nazir Helmi berkata, pihaknya mengecam perbuatan mengaitkan Kaabah yang menjadi lambang kesucian umat Islam untuk tujuan menyindir bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Ternyata gambar yang bersifat ‘troll’ itu tanpa ada rasa kemuliaan kepada Kaabah dan kesucian Islam oleh pelukis tersebut. Ini adalah suatu bentuk provokasi melibatkan kesucian agama Islam.

"Kita akan mengerakkan laporan polis besar-besaran terhadap pelukis dan pengendali laman Facebook berkenaan atas penghinaan ini apatah lagi umat Islam sedang menyambut bulan mulia Ramadan," katanya di Facebook pada Rabu.

Berdasarkan semakan Sinar Harian lukisan dimuat naik di laman Facebook kelab seorang peminat kartunis popular itu didapati masih memaparkan gambar berkenaan sejak tujuh jam lalu.

Lakaran gambar tersebut memaparkan Muhyiddin memasuki Kaabah dan pulang dengan membawa sebungkus guni berisi wang yang digambarkan sebagai kes rasuah membabitkan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Selain itu, lukisan berkenaan turut membuat perbandingan dengan menunjukkan Anwar tidak memasuki Kaabah namun pulang dengan membawa pelaburan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!