PM terima layanan sangat baik di Arab Saudi - Fahmi
PADANG TERAP - Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini mendapat layanan yang sangat baik daripada kerajaan Arab Saudi.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan Arab Saudi memohon Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melanjutkan lawatan rasmi namun tidak dapat dipenuhi disebabkan oleh jadual rasmi Perdana Menteri yang padat.
"Saya bersama Perdana Menteri di sana, pihak kerajaan Arab Saudi bersedia untuk bertemu pimpinan utama tapi tempoh itu mereka mohon tambahan beberapa hari tapi kami (perlu) kembali ke Malaysia.
"Perdana Menteri meneruskan program yang telah dijadualkan termasuk dengan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, diikuti dengan lawatan rasmi ke Kemboja pada hari Isnin dan pada hari ini (Rabu), Perdana Menteri telah ke China," katanya pada sidang media pada Rabu.
Terdahulu, beliau merasmikan Hab Rangkaian Gentian Optik Point Of Presence (Pop) Zon Utara di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Terap, dekat sini.
Menurut Fahmi, lawatan Perdana Menteri dan deligasinya menerima konvoi diraja menggunakan kenderaan rasmi yang dipasangkan jata kerajaan Arab Saudi.
Ujarnya, mereka turut diberikan perlindungan oleh pasukan keselamatan diraja semasa berada di negara tersebut.
"Kalau bukan lawatan rasmi tak guna kenderaan itu. Keselamatan kami melibatkan pasukan keselamatan diraja dengan 50 hingga 60 orang bila kami melakukan umrah, tawaf dan sai.
"Kami diberi layanan yang sangat baik dan kami diberikan penginapan yang dikhaskan di Guest Palace Mekah bagi tetamu kerajaan Arab Saudi dan Perdana Menteri diberi penginapan di Palace Suite," katanya lagi.
Pada Isnin, media melaporkan Perikatan Nasional (PN) menyifatkan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini adalah satu lawatan yang gagal.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal berkata, lawatan itu langsung tidak membabitkan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz atau Putera Mahkota Mohammed Salman sedangkan dalam kenyataan media daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO), jemputan itu adalah undangan daripada kerajaan Arab Saudi.
Sementara itu, Fahmi berkata, kementeriannya menyasarkan 432,300 premis akan menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi menjelang akhir tahun 2025.
Usaha tersebut adalah menerusi pembinaan rangkaian Hab Gentian Optik Point of Presence (PoP) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Menurutnya, projek bernilai RM4.6 bilion itu membabitkan pembinaan 4,323 PoP di kawasan berhampiran sekolah luar bandar yang dibahagikan kepada dua fasa pelaksanaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!