12 MoU dimenterai semasa lawatan kerja Ketua Menteri Sabah ke China
KOTA KINABALU - Sebanyak 12 Memorandum Persefahaman (MoU) dengan nilai perjanjian kira-kira RM20 bilion dimeterai semasa lawatan kerja lima hari yang diketuai Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ke Wilayah Jiangxi dan Shenzhen, di China baru-baru ini.
MoU itu membabitkan syarikat-syarikat di negeri ini dengan pelabur China dalam bidang perindustrian.
Mohd Shafie pada sidang media di sini, hari ini, sejurus tiba dari China berkata kerajaan negeri menerusi Kementerian Pembangunan Perindustrian akan memperincikan MoU tersebut bagi memastikan perjanjian yang ditandatangani itu menjadi kenyataan.
Menurutnya, ramai pelabur di China khususnya di Jiangxi dan Shenzen berminat melabur di di Sabah memandangkan lokasi strategik negeri ini.
"Lawatan ini bukan sahaja menerokai pembangunan wilayah-wilayah itu tetapi juga mewujudkan kerjasama dalam menggalakkan pelabur China ke Sabah.
"Ini bukan sahaja mengukuhkan kewangan negeri menerusi pelaburan masuk tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat dapat kita jayakan," katanya.
Antara MoU yang ditandatangani pada lawatan kerja itu adalah membabitkan syarikat Jesselton Birost (Sabah) Sdn Bhd untuk menjadi rakan kongsi bersama syarikat Zhejiang Zhou Shan Run Energy Co Ltd di Shenzhen.
Perjanjian tersebut adalah bagi membina dan mengendalikan terminal penapisan serta minyak bersepadu di Taman Industri Minyak dan Gas Sabah (Sogip) Sipitang yang akan menelan kos kira-kira RM16.5 bilion
Mohd Shafie diiringi oleh isterinya Datin Seri Shuryani Shuaib, Timbalan Ketua Menteri Datuk Wilfred Madius Tangau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah serta kira-kira 32 ahli perniagaan yang mewakili pelbagai industri di Sabah.
Delegasi perdagangan dari Sabah itu adalah yang pertama diketuai oleh Mohd Shafie sejak beliau mengambil alih sebagai Ketua Menteri Sabah.
Di Nanchang, Wilayah Jiangxi, Mohd Shafie dan delegasi mengunjungi Gabenor Wilayah Jiangxi, Li Yianhong dan melawat ibu pejabat Jiangxi Copper Corporation.
Di Shenzhen pula, Mohd Shafie dan delegasi melawat Kilang Xinyi Glass Holdings Ltd di Dongguan, dan syarikat China itu telah bersetuju untuk melabur dalam kilang pembuatan kaca di Sabah.
Selain itu, Ketua Menteri turut melawat pejabat dan kilang Huawei dan kemudiannya menyampaikan ucap tama mengenai Peluang-peluang Perdagangan dan Pelaburan di Sabah, yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Sabah dan Biro Perdagangan Shenzen.
Mohd Shafie berkata lawatan ke pejabat dan kilang Huawei itu turut disertai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) Datuk K.Y Mustafa dan Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.
Menurutnya, menerusi lawatan itu akan dapat menjalin kerjasama untuk rancangan penempatan pelajar dan pensyarah di kilang komunikasi dan teknologi maklumat terbesar di China itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!