Lantik Ketua Menteri Melayu jika PN ambil alih Pulau Pinang

Rasman Farish
Rasman Farish
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang berpendirian sudah tiba masanya perlu ada perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri terutama bagi jawatan Ketua Menteri.

Ketua Penerangannya, Rasman Farish Shamsuddin berkata, Ketua Menteri perlu dilantik daripada pemimpin Melayu buat pertama kalinya jika Perikatan Nasional (PN) menang dan merampas kerajaan negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurutnya, bakal Ketua Menteri itu seharusnya dapat menjaga kemaslahatan rakyat pelbagai kaum di negeri ini tanpa ada diskriminasi, tidak ekstremis dan tidak rasis.

"Bagi mencapai hasrat ini, PN perlu memenangi sekurang-kurangnya 21 daripada 40 kerusi DUN di Pulau Pinang yang mana Bersatu dan Pas sudah sepakat untuk bertanding di kerusi majoriti Melayu, manakala Parti Gerakan akan cuba sedaya upaya memenangi sebanyak mungkin kerusi campuran untuk mengambil alih pentadbiran daripada kerajaan negeri yang sedia ada menjelang PRN nanti.

"Buat masa ini, jentera kita sedang memberikan tumpuan dan gerak kerja hanya untuk memastikan PN memperoleh kemenangan dalam PRN yang akan datang," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas lanjut, Rasman Farish berkata, tidak timbul lagi isu soal siapa yang akan dilantik atau dipilih untuk memegang sebarang jawatan dalam pentadbiran negeri ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, Bersatu Pulau Pinang menyokong penuh calon Ketua Menteri daripada pemimpin Melayu yang mempunyai kriteria sebagai pemimpin yang diterima oleh masyarakat majmuk di Pulau Pinang.

"Kita akan mengubah persepsi negatif terhadap pemimpin Melayu oleh golongan yang berkepentingan.

"Saya yakin keputusan yang wajar akan dibuat oleh pimpinan tertinggi parti gabungan PN dalam memutuskan siapa yang sesuai menjawat jawatan penting itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap pengundi-pengundi Pulau Pinang dapat menilai dan memberikan sokongan kepada calon-calon PN yang akan ditampilkan dalam PRN nanti demi membela nasib rakyat di negeri ini.

Tegasnya, Bersatu turut menyumbang dalam gabungan PN untuk menjaga kepentingan dan keharmonian kaum terutama memperjuangkan Melayu.

Katanya, hanya PN dapat menjadi bumbung untuk menjaga keharmonian masyarakat majmuk di negeri ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!