ASEAN, China perlu bekerjasama tangani risiko, manfaat lonjakan ekonomi
SINGAPURA - Asean dan China perlu menangani empat risiko yang ada pada masa ini untuk memanfaatkan lagi peluang dalam ekonomi masing-masing, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Bercakap pada program China Conference: Southeast Asia, persidangan tahunan utama anjuran South China Morning Post hari ini, beliau berkata, antara risiko tersebut termasuklah "pertumbuhan perlahan ekonomi China dan risiko krisis sektor perbankan global”.
"Era pertumbuhan satu digit atau dua digit yang tinggi, yang menyaksikan China menguasai ekonomi dunia bangkit daripada krisis kewangan global pada 2008/2009, mungkin sudah berakhir.
"Pemulihan tidak sekata dalam sektor-sektor pasca pandemik, ditambah dengan kesukaran yang telah lama dialami sektor hartanah serta isu struktur dengan cabaran penduduk menua mungkin terus membantutkan prospek pertumbuhannya, yang diunjur berada pada 5.0 peratus tahun ini dan menyederhana di bawah 5.0 peratus bagi dekad seterusnya,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, pertumbuhan perlahan ekonomi China akan memberi kesan ketara kepada rakan dagangnya seperti Asean.
Beliau berkata, perdagangan dua hala China-Asean menongkah arus trend yang disebabkan pandemik Covid-19, melonjak kepada AS$975.3 bilion pada 2022 daripada AS$641.5 bilion pada 2019.
Menyentuh risiko kemungkinan penularan krisis perbankan global, Tengku Zafrul berkata, sistem perbankan pada masa ini diasak satu demi satu kejutan sejak seminggu lepas susulan kejatuhan Silicon Valley Bank California dan kemelut dihadapi Credit Suisse di Switzerland.
"Kebimbangan mengenai kemungkinan satu lagi krisis perbankan juga ketara dan menyebabkan bank-bank pusat berdepan lebih banyak dilema ketika berusaha menangani inflasi sambil memastikan kestabilan kewangan tidak terjejas.
"Biarpun kemelesetan penuh sepertimana yang berlaku pada 2008 boleh dielakkan berikutan keadaan bank-bank yang lebih baik sekarang berbanding sebelumnya, kemungkinan risiko yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi global, termasuk Asia, tetap ada.
"Sebagai individu yang pernah bergelar ahli perbankan, kita sedia maklum bahawa bank-bank ini adalah berteraskan kepercayaan. Sehubungan itu, adalah penting bagi bank-bank ini untuk mampu bangkit semula dan membina modal demi memastikan kestabilan dalam ekosistem perbankan global,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, dua risiko lain adalah ketegangan perhubungan perdagangan di antara Amerika Syarikat dan China serta risiko ketegangan geopolitik di Asia Tenggara.
Berlatarbelakang senario tersebut, beliau berkata adalah penting bagi negara-negara Asean untuk saling bekerjasama dan mengetengahkan kedudukan masing-masing sebagai stabil, mesra pelabur, komited terhadap tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat serta kuasa ekonomi yang kompetitif di Asia.
"Kita perlu berupaya mengenal pasti trend dan memanfaatkannya. Sama ada kita melakukannya secara bersama sebagai Asean atau menerusi hubungan dua hala mengikut kepentingan strategik, namun pada akhirnya kelak, kita akan dan perlu mengurus kesemua risiko ini serta bersedia untuk mengharungi cabaran masa depan,” katanya.
Menyedari kepentingan itu, Tengku Zafrul berkata, Asean perlu mengutamakan isu-isu terbabit demi kemajuan dan bekerjasama bagi memacu pertumbuhan perdagangan intra dan sekitar Asean.
"Ini termasuk melaksanakan pakatan dan rangka kerja perdagangan pelbagai hala seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), menghapuskan halangan untuk perdagangan dan menggalakkan perdagangan digital.
"Kita juga perlu mengenal pasti bidang pertumbuhan utama yang perlu diberikan rangsangan dan memastikan perusahaan kecil dan sederhana mendapat manfaat daripada pertumbuhan perdagangan.
"Dalam hal ini, kita turut perlu saling memanfatkan kekuatan utama masing-masing,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, China menyaksikan peningkatan perdagangan tahun ke tahun dengan Asean sebanyak 15 peratus pada 2022, tahun pertama RCEP berkuat kuasa.
Beliau berharap hubungan Asean dan China perlu sentiasa berlandaskan sikap saling mempercayai dan menghormati.
"Kita amat berharap sebarang potensi perbalahan dalam kalangan kuasa besar tidak akan menular ke sempadan kita. Bagaimanapun, kita menghargai kehadiran dan komitmen mereka di rantau ini terutamanya dalam perniagaan, pelaburan dan perdagangan.
"Kita berharap agar Asia Tenggara dapat kekal sebagai zon konflik yang minimum dan menyokong kerjasama, kemakmuran dan keamanan global.
"Saya optimis bahawa, memandangkan peluang ekonomi yang luas dan belum diteroka di Asia, hubungan antara Asean dan China akan berkembang dengan kekuatan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!