Cebisan tubuh nelayan dalam perut buaya
AMBON - INDONESIA. Kehilangan misteri seorang nelayan di Maluku awal minggu lalu akhirnya terjawab apabila cebisan mayatnya ditemui dalam perut seekor buaya.
Buaya sepanjang lebih empat meter itu ditangkap penduduk di sebatang sungai di Desa Waepandang, Kecamatan Kepala Medan, Kabupaten Buru Selatan pada 16 April lalu.
Selepas dibawa naik ke daratan, perut reptilia itu dibelah menggunakan sebilah parang panjang.
Detik-detik perut buaya tersebut dibelah turut dirakam dan menjadi tular di media sosial.
Dalam klip video itu, beberapa penduduk berjaya mengeluarkan anggota tubuh badan mangsa daripada perut buaya berkenaan.
Mangsa dikenali sebagai Ladani Tomia dilaporkan hilang pada 15 April lalu selepas keluar menjala ikan di sungai berhampiran.
Sementara itu, ketua Balai Konservasi Sumber Daya Alam (BKSDA) wilayah Maluku, Mukhtar Amin Ahmadi ketika dihubungi Kompas.com mengesahkan perkara tersebut.
“Memang benar ada buaya yang ditangkap kerana membaham penduduk di sana,” katanya. - Kompas.com
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!