Kelingkan diancam kepupusan, tiada artisan pelapis

Nik Faiz (kanan) dan Khadijatul (dua dari kanan) melihat seni kelingkan yang ditinggalkan oleh orang zaman dahulu.
Nik Faiz (kanan) dan Khadijatul (dua dari kanan) melihat seni kelingkan yang ditinggalkan oleh orang zaman dahulu.
A
A
A

KOTA BHARU - Pertubuhan Kraf Malaysia (MCC) giat menjalankan usaha memulihara dan memartabatkan seni sulaman kelingkan negeri Kelantan yang diancam kepupusan.

Langkah serius bermula bulan depan itu akan dilakukan menerusi The Silver Lining Project (TSLP) Malaysia selama tiga tahun di bawah geran tajaan Yayasan Hasanah.

Pengerusi MCC, Nik Faiz Nik Amin berkata, usaha memperhebatkan warisan Melayu itu merangkumi pemuliharaan hasil tekstil, kraf logam dan seni persembahan yang dimulakan di negeri Che Siti Wan Kembang.

“Projek komuniti ini ialah satu pendekatan menangani krisis kepupusan warisan nenek moyang terutama kelingkan dan tenunan songket.

“Sudah tidak ada artisan pelapis atau pewaris warisan ini bahkan lebih menyedihkan tidak ramai yang tahu kewujudan kelingkan termasuk rakyat Kelantan itu sendiri,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran TSLP di sini pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Seni, Warisan dan Ruang Awam Yayasan Hasanah, Zainariah Johari, selebriti popular, Arja Lee yang juga tenaga pengajar TSLP dan Nik Marhamah Nik Megat.

Nik Faiz berkata, projek tersebut menumpukan usaha memelihara ilmu dan kemahiran serta melahirkan penggiat seni warisan bertaraf dunia dari kalangan generasi baharu.

Warisan kelingkan yang semakin dilupakan masyarakat.
Warisan kelingkan yang semakin dilupakan masyarakat.

“Langkah akan berterusan dengan menyediakan perantis artisan bagi menerajui pasaran domestik dan antarabangsa.

“Kami juga mahu meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa penting memelihara warisan kita sekali gus akan mewujudkan permintaan tinggi terhadap hasil kraf dan warisan selain diangkat ke posisi yang sewajarnya,” kata beliau.

Dalam pada itu, Ketua Projek TSLP, Khadijatul Azada memberitahu, projek berkenaan mengambil pendekatan masa panjang di bawah tiga fasa iaitu kajian dan penyelidikan, pameran dan persembahan serta impak sosial berterusan.

Nik Marhamah mengayakan kelingkan.
Nik Marhamah mengayakan kelingkan.

“Akan ada dokumentasi dan modul penghasilan kelingkan yang sistematik.

“Projek berjalan dengan kerjasama kerajaan negeri, Jabatan Penjara Malaysia dan beberapa agensi lain,” katanya.

Untuk rekod, kelingkan ialah selendang yang disulam menggunakan benang logam bersadur perak atau emas dan digayakan oleh bangsawan zaman dahulu dipercayai bertujuan membangkitkan seri wajah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!