Masyarakat kurang pengetahuan mengenai kesihatan tulang, sendi

Vejayan menerangkan mengenai kepentingan pemeriksaan berkala kepada peserta kempen.
Vejayan menerangkan mengenai kepentingan pemeriksaan berkala kepada peserta kempen.
A
A
A

GEORGETOWN - Kesedaran mengenai penyakit melibatkan tulang dan sendi dalam kalangan masyarakat masih rendah menyebabkan pesakit tidak menyedari lebih awal mengenai penyakit mereka itu.

Osteoartritis adalah nama saintifik bagi penyakit yang menyebabkan kerosakan sendi, manakala Osteomielitis adalah penyakit berkaitan tulang.

Pakar Bedah Ortopedik dan Perubatan Sukan, Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Kol (R) Dr R Vejayan berkata, sakit tulang dan sendi selalunya akan berlaku kepada mereka yang berusia lebih 50 tahun.

Menurutnya, bagi golongan wanita, tulang secara semula jadi akan menjadi lembut selepas mereka mengalami menopaus kerana pengeluaran kadar hormon akan berkurangan ketika itu.

"Jangkaan usia kita tidak boleh berikan kerana setiap wanita mengalami menopaus pada usia yang berbeza. Ketika itu, osteoporosis akan berlaku kerana tulang semakin rapuh. Selain itu, faktor lain adalah terlalu aktif. Apabila seseorang wanita terlalu aktif, ia akan memberi kesan tidak baik kepada tulang.

"Selain itu, berat badan mempunyai peranan yang sangat penting dalam penjagaan kesihatan tulang dan sendi, tidak kira wanita atau lelaki. Semua faktor-faktor ini tidak diambil berat oleh masyarakat kita sekarang.

"Ini kerana, kurang pendedahan yang dibuat mengenai penyakit tulang dan sendi dalam kalangan masyarakat kita," katanya ketika ditemui di Kempen #MovementMatters di Pusat Beli Belah Gurney di sini pada Rabu.

Kata beliau, antara langkah awal yang boleh diambil bagi mengelakkan kecederaan pada tulang dan sendi adalah mengurangkan berat badan, bersenam, sentiasa aktif dan penjagaan otot yang betul.

Sementara itu, Pakar Bedah Ortopedik dan Traumatologi Hospital Pantai Pulau Pinang, Dr Boon Huck Wee berkata, masyarakat kini dilihat tidak mengambil berat tentang kesihatan tulang dan sendi kerana tiada pendedahan mengenainya.

Menurutnya, selalunya masyarakat kita hanya mementingkan kesihatan lain antaranya tekanan darah, jantung, tahap kolesterol, tahap gula dan sebagainya.

Orang ramai menyertai Kempen #MovementMatters di Pusat Beli Belah Gurney pada Rabu.
Orang ramai menyertai Kempen #MovementMatters di Pusat Beli Belah Gurney pada Rabu.

"Saya mendapati, masyarakat kita tidak ambil peduli dengan kesihatan tulang kerana ia tidak sakit. Bila tak sakit, maka tiada pemeriksaan dibuat. Jika sakit pun, hanya ambil pil tahan sakit sahaja, tiada rawatan atau pemeriksaan susulan.

"Ini tidak betul kerana sekiranya tulang dan sendi mula rasa sakit, ada perkara yang kena periksa dan ubati. Selalunya, pesakit tulang atau sendi, apabila mereka datang untuk pemeriksaan, kes sudah serius. Itu sudah terlewat," katanya.

Oleh demikian, bagi menyedarkan masyarakat tentang pentingnya kesihatan tulang dan sendi, Huck Wee berkata, IHH Healthcare Malaysia dengan rangkaian 16 hospitalnya yang terdiri daripada Hospital Gleneagles, Hospital Pantai dan Pusat Perubatan Prince Court melancarkan Kempen #MovementMatters di seluruh negara untuk mempromosikan kesihatan tulang dan sendi yang lebih baik dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kata beliau, kempen tersebut juga bertujuan untuk memerangi keadaan ortopedik dalam kalangan rakyat Malaysia dengan mewujudkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan dan pemeriksaan tulang serta sendi.

"Kami mahu memberitahu orang ramai supaya tidak mengambil ringan jika berasa sakit atau tidak selesa pada sendi atau tulang.

"Dengan berkongsi maklumat selain kepakaran yang kami ada, kami berharap dapat membina komuniti yang lebih sihat sebagai sebahagian daripada aspirasi kami untuk menjaga kesihatan untuk kebaikan," katanya.

Kempen #MovementMatters dilancarkan di tiga lokasi iaitu bermula di Kuala Lumpur bermula 15 hingga 19 Mac, di Johor dari 22 hingga 26 Mac dan Pulau Pinang iaitu dari 29 Mac hingga 1 April 2023.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!