Umat Islam Afghanistan hanya jamah roti, teh di bulan puasa

Wanita Afghanistan beratur untuk menerima bantuan makanan daripada pertubuhan kebajikan di Kandahar baru-baru ini. - Foto AFP
Wanita Afghanistan beratur untuk menerima bantuan makanan daripada pertubuhan kebajikan di Kandahar baru-baru ini. - Foto AFP
A
A
A

KABUL - Bulan Ramadan di seluruh dunia meriah dengan pelbagai hidangan sebagai juadah bersahur dan berbuka puasa, tetapi dengan ekonomi Afghanistan hampir merudum, penduduk semakin terdesak untuk membeli makanan, dengan ramai yang hidup hanya dengan roti dan teh.

Sejak Taliban menguasai negara itu pada Ogos 2021, kos sara hidup dan harga makanan melambung tinggi, manakala kebanyakan penduduk menganggur.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kira-kira 28 juta orang atau hampir 70 peratus daripada penduduk, kini bergantung kepada bantuan untuk terus hidup. Tetapi bantuan itu juga terhad kerana organisasi antarabangsa utama telah menghentikan operasi di Afghanistan di bawah pemerintah baharunya.

Ketika dunia Islam menyambut bulan mulia, umat Islam bersedia dengan pelbagai hidangan beraroma untuk memeriahkan hidangan sahur dan berbuka puasa, namun di Afghanistan, kemeriahan itu tiada lagi.

“Dahulu, kami menyediakan iftar dan sahur bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk anggota keselamatan dan jiran-jiran, tetapi kini kami tidak mempunyai apa-apa, hanya teh hijau dan roti kering.

“Dulu lima ahli keluarga kami termasuk saya bekerja, tetapi kini hanya seorang yang bekerja dan pendapatannya tidak mencukupi untuk menampung keperluan keluarga kami," kata Shamsia Hassanzada, bekas aktivis hak wanita dan guru tadika di Kabul, memberitahu Arab News.

Mohammad Naeem, seorang penduduk Kabul yang pernah bekerja sebagai pemandu Kementerian Pertahanan di bawah pentadbiran terdahulu, lega kerana sejak penarikan pasukan tentera Amerika Syarikat dari Afghanistan pada 2021, negara itu lebih selamat dan lebih aman, tetapi keadaan ekonomi tidak membenarkannya untuk bergembira.

Disebabkan keadaan ekonomi Afghanistan yang merudum, dia tidak menerima pencennya sejak beberapa bulan lalu.

"Dulu, saya mempunyai pelbagai jenis makanan ketika berbuka puasa dan bersahur, tetapi kini kami tidak mempunyai makanan. Saya hanya akan makan daging apabila ada pihak dermakan, tetapi saya tidak boleh membelinya sendiri," katanya.

Puasa dan berzakat adalah antara lima kewajipan utama Islam dan ia biasanya diberi perhatian pada bulan Ramadan, tetapi itu hampir tidak dapat dilakukan sekarang apabila semua keluarga terpaksa menanggung diri sendiri.

“Menjaga puasa sepanjang hari dan kemudian tidak mempunyai apa-apa untuk berbuka puasa dan bersahur adalah sangat sukar dan menyakitkan bagi saya dan bagi kebanyakan keluarga Afghanistan. Kebanyakan daripada kami tidak mempunyai apa-apa kecuali teh hijau,” kata Karishma Nazari, seorang aktivis hak wanita.

Sayed Omar, 35, yang pernah bekerja untuk pentadbiran sebelum ini di Kabul, telah melakukan pelbagai pekerjaan sejak dua tahun lalu untuk menanggung sembilan ahli keluarga, tanggungjawab yang menyukarkannya untuk menghulurkan bantuan kepada orang lain.

Dia ke bandar setiap hari untuk mencari peluang menjana pendapatan lebih tetapi sering pulang dengan tangan kosong.

"Sangat sukar untuk menyara keluarga. Dulu, kami mempunyai makanan yang mencukupi untuk berbuka puasa dan sahur, malah kami berkongsi makanan kami dengan jiran kami, tetapi sekarang saya perlu dahulukan keluarga saya," kongsinya. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!