Jadikan Umno Sabah sebagai pengajaran

KHALED
KHALED
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemergian Ahli Parlimen, Adun dan ahli Umno di Sabah diharap dapat dijadikan pencetus pembaharuan dalam mengembalikan parti itu ke tahap yang lebih baik.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, untuk berubah dan bangkit kembali, parti tidak boleh lagi terus berdolak-dalik dan hidup dalam penafian.

Menurutnya, kepimpinan, hala tuju serta pemulihan parti mesti menjadi agenda yang diterjemahkan secara tegas dan serius.

“Kita mesti dengan segera dan terbuka mengakui bahawa segalanya sangat bercelaru dalam Umno. Parti ini hanya akan dapat diislahkan dengan kepimpinan yang berwibawa, berkesan dan berintegriti.

“Saya percaya Majlis Tertinggi Umno akan mencari jalan pencerahan bagi menangani perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, seperti telah dinyatakannya sebelum penolakan rakyat terhadap Umno dalam PRU lalu adalah kerana pucuk pimpinan yang enggan mendengar suara rakyat dan dicemari krisis integriti dan ketelusan.

“Saya sendiri turut menyatakan pendirian betapa kepimpinan sebelum ini lemah sehingga menyebabkan parti tersasar dan ditolak.

”Pada masa sama, saya percaya, kita harus mengambil tanggungjawab. Kita harus kekal berusaha bersama-sama merawat parti. Umno sebagai satu wadah tidak bersalah. Yang bersalah adalah pengemudinya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sekiranya parti dibiarkan berterusan seperti itu, ia juga mampu memusnahkan perjuangan diketahui orang Melayu sedikit masa lagi.

Dalam masa sama, berhubung perkara yang berlaku antara kesemua wakil rakyat yang mengambil keputusan meninggalkan parti itu, Mohamed Khaled berpendapat ia kerana mereka hanya mengejar jawatan dan pangkat berbanding perjuangan.

“Jika semuanya tenang, manis dan mudah, itu bukanlah perjuangan untuk bangsa namanya. Tetapi, itu perlumbaan mengejar nama, pangkat dan kekayaan.

“Inilah yang saya lihat berlaku kepada para pemimpin Sabah yang meninggalkan Umno.

"Mereka tidak mahu bertahan dan kekal dengan kesukaran memulihkan parti yang jatuh dan tewas sebaliknya memilih jalan keluar yang kelihatan lebih mudah dan lunak,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!