PH, BN bertemu bincang PRN di Terengganu

Antara pemimpin PH dan BN Terengganu yang hadir dalam pertemuan pertama yang diadakan di Kuala Lumpur, pada Rabu. Foto: Facebook Raja Bahrin.
Antara pemimpin PH dan BN Terengganu yang hadir dalam pertemuan pertama yang diadakan di Kuala Lumpur, pada Rabu. Foto: Facebook Raja Bahrin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pakatan Harapan (PH) dan BN Terengganu mengadakan pertemuan pertama untuk berbincang mengenai persediaan jajaran itu berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, pertemuan diwakili pemimpin parti peringkat negeri dan pusat itu berlangsung di Kuala Lumpur pada petang Rabu.

"Semalam merupakan pertemuan pertama PH dan BN Terengganu untuk berbincang antaranya mengenai agihan kerusi dan logo dalam PRU15 nanti.

"Pertemuan itu juga sebagai mukadimah dan perbincangan secara dasar yang diadakan secara tidak rasmi.

"Kita jangka akan adakan lagi mesyuarat dalam tempoh seminggu akan datang iaitu pada pertengahan puasa untuk bincang mengenai agihan kerusi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, pada Khamis.

Raja Bahrin berkata, agihan kerusi dijangka dapat diselesaikan pada pertengahan Mei iaitu dua minggu selepas Hari Raya Aidilfitri.

"Kita harap ia dapat diselesaikan sebelum pertengahan Mei sebab ada jangkaan mengatakan Parlimen akan dibubarkan pada Jun," ujarnya.

Menurut Raja Bahrin, hadir sama pada pertemuan itu adalah Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Ahli Jawatankuasa Manifesto PH yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Sebelum itu, Raja Bahrin turut berkongsi mengenai pertemuan tersebut melalui hantaran di laman sosial Facebooknya pada Rabu.

"Dengan kuasa dan iradatNya, maka gabungan perpaduan di bawah konsep madani akhirnya termeterai di bumi Terengganu.

"Kami berkongsi iltizam dan impian yang sama untuk tampilkan pilihan terbaik buat pengundi rakyat Terengganu bagi mewujudkan kerajaan negeri yang kompeten.

"Ia satu pilihan yang selari dengan aspirasi kerajaan pusat sebagai wadah pentadbiran bersama yang stabil, amanah dan harmoni," tulisnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!