Kambing bunting hadiah graduasi
JIKA kanak-kanak lain inginkan gajet seperti telefon pintar atau permainan video sebagai hadiah, lain pula kisahnya dengan seorang kanak-kanak di Filipina yang hanya mahukan seekor kambing.
Permintaan luar biasa Alwytz Robiniol Gaoiran menjadi tular selepas dia memilih kambing berbanding gajet terkini sempena hari tamat pengajian.
Menerusi perkongsian abangnya Alvin Gaoiran Robiniol di Facebook, dia telah menunaikan permintaan adiknya dengan membelikannya kambing bunting supaya Alwytz boleh menjaga lebih banyak haiwan itu pada masa akan datang.
“Impian jadi kenyataan. Ramai yang gembira Alwytz berjaya tamatkan Gred 6 di sekolah rendah di Bacarra. Permintaan hadiah graduasinya hanyalah haiwan ternakan.
“Tahniah sekali lagi Alwytz. Kamu adalah adik kesayangan abang. Abang sayang kamu bakal jurutera,” tulis Alvin.
Media tempatan melaporkan, Alwytz gemar memelihara haiwan ternakan. Namun, keluarganya tidak mampu memiliki ladang ternakan atas faktor kemiskinan.
Malah, duit gaji ibunya yang bekerja sebagai pembantu rumah di Kuwait juga tidak cukup untuk memenuhi impian Alwytz dan tujuh beradiknya. - Buzzooks
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!