Ansu Fati menghitung nasib bersama Barcelona
DILEMA pemain muda, Ansu Fati dalam menentukan perjalanan karier bola sepaknya apabila perlu memilih untuk kekal atau angkat kaki meninggalkan kelab La Liga, Barcelona.
Pemain berusia 20 tahun itu mahu kekal di Camp Nou, bagaimanapun bapanya, Bori Fati berfikiran sebaliknya.
Penyerang itu telah membuat 38 penampilan dalam kesemua kejohanan musim ini dengan 27 daripadanya sebagai pemain gantian.
Bori Fati yang merupakan pengurus anaknya di samping ejen, Jorge Mendes tidak berpuas hati dengan situasi itu dan berasakan pemain itu layak mendapat lebih banyak minit permainan bersama pasukan bimbingan Xavi tersebut.
“Jika saya dapat menentukannya, saya akan membawanya keluar menyertai pasukan lain tetapi Ansu mahu kekal di Barcelona,” ujar Bori Fati.
Ansu sudah bersama kelab tersebut sejak 2012 sehingga 2019 sebelum menyertai skuad senior.
“Dia tidak mahu menyertai pasukan lain tetapi saya mahu melihat dia berjaya. Sebagai seorang bapa, saya berasa marah.
“Melihat Ansu hanya dapat bermain dengan sedikit membuatkan anda berasa bengang. Saya berfikir sebagai seorang bapa, bukan sebagai jurulatih,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!